Pengorbanan anggota tentera besar nilainya

SAYA berasa amat sedih dan kecewa dengan kenyataan Koon Yew Yin. Beliau mengatakan anggota ATM hanya makan, tidur dan hanya menembak di papan sasaran. Ucapan itu tidak sewajarnya keluar daripada mulut sesiapa pun bahkan rakyat Malaysia yang hidup dalam keamanan dan kesejahteraan yang tanpa disedari kita dijaga rapi oleh anggota ATM.

Advertisement

Anggota ATM adalah wira negara yang sentiasa berlatih di medan, mereka bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan yang berlaku bila-bila masa. Mereka rela dijamu nyamuk dan haiwan berbisa di hutan belantara demi menjaga perbatasan, bersengkang mata tidak kira masa dan yang terbesar adalah rela mempertaruhkan nyawa demi kesejahteraan negara.

Ketahuilah wahai seluruh bangsa dan kaum di Malaysia, tanpa pasukan tentera dan sistem pertahanan yang kuat kita tidak mampu menghalang ancaman yang dihadapi negara, kita tidak akan menikmati kebebasan, peluang kesejahteraan dan keamanan yang diidamkan.

Saya ingin mengajak semua untuk merenung kembali sejarah. Sejak zaman komunis, konfrantasi, darurat hinggalah sekarang, kesemuanya dihadapi oleh perwira dan perajurit negara ini dengan penuh iltizam dan integriti. Mereka telah menzahirkan pengorbanan yang cukup besar demi agama, bangsa dan negara sehingga ada yang gugur, tercedera atau hilang upaya. Inilah bayaran perjuangan yang mereka terima dalam memastikan negara terus aman damai sampai bila-bila. Firman Allah S.W.T dalam Surah an-Nisa’ ayat 95:

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

“Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Betapa tingginya kedudukan para perwira. Apa yang jelas, nikmat keamanan dan keharmonian hidup yang dikecapi pada hari ini bukan datang dengan percuma, tetapi melalui keringat, air mata dan darah. Sangkaan jahat dan menghina anggota ATM adalah tidak sewajarnya berlaku.

Bulan ini adalah bulan kemerdekaan tanah air kita, marilah bersama-sama kita mengenang kembali jasa-jasa dan keperibadian perwira dan perajurit tanah air. Menjadi tanggungjawab kita, untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara, agar terus kekal dan terpelihara. Jangan sesekali kita menggadaikan keamanan dan keharmonian negara dengan pengkhianatan, kerana kesan kehancurannya amat memeritkan, kepada kita dan generasi masa hadapan.

Keamanan dan keharmonian adalah suatu nikmat besar yang sewajarnya disyukuri oleh kita. Ambillah iktibar daripada negara-negara berkonflik dan berperang di sekeliling kita yang menyukarkan kehidupan rakyatnya, bahkan membantutkan usaha untuk masa hadapan yang cemerlang. Lebih malang, ada rakyatnya yang terpaksa berhijrah ke negara-negara. Firman Allah S.W.T:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” 
(al-Anfal: 60)

Saya memberikan sokongan penuh terhadap seluruh anggota ATM. Khidmat bakti anda semua adalah nadi kedaulatan dan keamanan negara. Semoga Allah memberkati dan merahmati perjuangan para perwira negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Damak Maju Berkat”

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang
ADUN Damak – HARAKAHDAILY 19/8/2019