Ta’awun PAS-Umno tangani gugatan atas umat Islam

PEKAN: Kesatuan PAS bersama Umno lahir dari kesedaran tinggi kedua pihak terhadap keberadaan umat Islam yang kian tergugat ketika ini dan PAS tidak akan pernah menggadaikan prinsip perjuangannya, bahkan sentiasa berharap Allah memberi pertolongan-Nya.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan, Abu Kasim Manaf berkata, sikap memaaf, keterbukaan dan berlapang dada pimpinan dan ahli-ahli PAS telah mempertaut dan mengerat ukhuwah silaturahim di mana dengannya mesej-mesej dakwah PAS akhirnya sampai dengan lebih berkesan.

Beliau melahirkan ungkapan optimistik terhadap ta’awun kedua pihak ini sebagai mengulas kehadiran PAS Pekan ke Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Amphitheatre di Bangunan Umno, di sini kelmarin.

Majlis penuh semangat ini telah dirasmikan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang antara dalam ucapannya menyentuh kegagalan dan kelemahan Kerajaan PH memenuhi janji manifesto mereka sebelum ini.

Delegasi PAS diketuai Abu Kasim turut disertai sama wakil Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS Pekan yang tampil dengan baju korporat hijau, selain majlis juga dihadiri wakil Umno dan MCA Bahagian Rompin. – HARAKAHDAILY 20/8/2019