‘Usir Zakir Naik, umat Islam usir kamu PRU15’

SAYA memandang serius perkembangan akhir akhir ini di dalam isu melibatkan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik yang sedang diberi tekanan oleh pemimpin DAP agar diusir keluar dari Malaysia.
 
Dr Zakir Naik terkenal dengan ceramah perbandingan agama yang mendorong ribuan masuk Islam secara sukarela. Tidak pernah ada laporan beliau memaksakan orang hadir ke ceramah beliau atau memaksa sesiapa untuk masuk Islam.
 
Di Malaysia yang menjunjung demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara adalah satu prinsip yang asas  dengan syarat syarat tertentu yang menjaga kepentingan kerukunan masyarakat. Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan yang kerana itu adalah munasabah Islam dikembangkan melalui pelbagai pendekatan dakwah yang dibenarkan oleh Islam.
 
Islam melarang sebarang paksaan dalam soal kepercayaan. Perbincangan, perbahasan yang bersifat akademik dengan merujuk sumber sumber yang berautoriti adalah sesuatu yang diterima oleh masyarakat yang bertamadun.
 
Anda berbahas, keluarkan hujah. Terpulang yang mendengar mahu menerima atau tidak.
 
Yang tidak boleh diterima adalah ucapan berapi api yang bersifat menghasut kebencian, permusuhan dan pergaduhan yang membawa kepada kecederaan fizikal dan hartabenda.
 
Saya melihat ceramah Dr Zakir Naik di mana mana pun tiada yang berlangsung dalam suasana kebencian, pergaduhan dan permusuhan. 
 
Memang benar ia mencabar pemikiran orang yang tidak sama kepercayaan tetapi sebagai manusia yang bertamadun masyarakat boleh menerima atau menolak hujah beliau.
 
Tiada yg mendengar ceramah beliau kemudian menjadi seorang militan yang mengancam sesama manusia sesudah itu.
 
Saya berkongsi keprihatinan Perdana Menteri terhadap komen beliau yang dianggap mencampuri urusan hubungan kaum. Itu perlu ditangani dengan berhemah dan komen itu sebenarnya tidak perlu dan perlu diteliti didorong oleh apa, konteks apa?
 
Zakir Naik diterima baik oleh umat Islam di Malaysia. Yang tidak menerimanya adalah  golongan tertentu yang berterusan memberi tekanan dan mereka diberi laluan oleh segelintir umat Islam yang bersifat apologetik tak kena tempat kerana jiwa kerdil yg merasa bergantung hayat kepada sokongan pihak tertentu.
 
Anda usir Zakir Naik, umat Islam akan usir kamu dari kerajaan paling lewat di pilihan raya umum akan datang.
 
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu 
19 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 19/8/2019
Advertisement