Bayangkan jika Dr Zakir dipulangkan ke India

IRONINYA Dr Zakir Naik yang kini namanya diratib kawan dan lawan telah  lama mendapat PR, iaitu di zaman Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri. Dalam tempoh dua tahun ini, beliau dijemput ke merata tempat untuk memberikan syarahan perbandingan agama, tapi tiada yang mensensasikan syarahan Dr Zakir seperti mutakhir ini sehingga memicu kepada isu perkauman (ucapan diputar oleh media). Anwar Ibrahim sebagai tokoh PH juga mengulas dalam keadaan tidak memberikan keuntungan kepada Dr Zakir sehingga saya terus mendoakan agar Anwar terus kekal sebagai bakal Perdana Menteri. Puncanya satu, iaitu isu Dr Zakir sekarang ini menjadi panas menggelegak sebabnya ia diapungkan oleh pemimpin DAP, pemimpin kerajaan yang tak mesra syariah, kelompok muslim liberal dan Hindraf.

Advertisement

riduan mnorSebelum PH menang dan membentuk kerajaan pasca 9 Mei 2018, kumpulan Hindraf dan liberal menimbulkan isu berkaitan pendekatan dakwah Dr Zakir Naik. Umumnya kritikan dan asakan kelompok ini tidak kuat kerana  sebab kerajaan BN Najib tidak mempedulikan serangan sipi namun keadaan berubah selepas 9 Mei. Antara yang vokal dalam isu ini ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Dr Ramasamy, Kulasegaran, Moorty dan lain-lain.

Pelbagai gerakan swadaya non-Muslim mula menunjukkan taring apabila PH berkuasa, mereka mula memberikan tekanan kepada kerajaan PH yang didominasi oleh DAP ini untuk menghalau Dr Zakir Naik pulang ke India. Tindakan itu mendapat respons balas yang keras juga daripada kelompok Islamis di negara ini, para mufti seolah sepakat dan mengiakan keberadaan Dr Zakir dan seperti biasa, PAS akan memayungi apa sahaja isu berkaitan Islam dan tokohnya.

Sikap biadab dan asakan daripada pak menteri dan parti DAP serta sekutunya menjadikan isu Dr Zakir Naik pantas mendidih kerana pelbagai isu yang melingkari tanah air ini sebelumnya. Daripada isu pendekatan dakwah, terjebak kepada isu politik sehingga PDRM melarang apa sahaja program dakwah Dr Zakir. Semenjak beliau berada di Malaysia , himpunan paling ramai untuk beliau menyampaikan idea ialah usaha kerajaan Kelantan menganjurkan Tour Dr Zakir di Stadium Sultan Mohamad IV di Kelantan sebagai manifestasi sokongan kepada pendakwah besar itu.

PAS istiqamah menyokong perjuangan dakwah Dr Zakir Naik, malah ianya adalah timbal balas kepada tekanan politik dari pihak DAP, Hindraf dan sekutu muslim liberal (baca: barua). Pelbagai desakan supaya Zakir dihantar pulang ke India dan juga menggunakan kuasa politik menteri Kabinet untuk menjayakan agenda ini.

Apakah implikasi jika Dr Zakir dihantar pulang ke India? Menyerahkan Dr Zakir Naik kepada kerajaan  India yang didominasi puak pelampau dengan erti kata menyerahkan leher Dr Zakir untuk disembelih!

Bharatiya Janata Party (BJP) merupakan parti pemerintah di India yang telah memenangi Pilihan raya Umum India  baru-baru ini. Kelompok  penguasa BJP ini dipimpin oleh Narendra Modi, kini menjadi Perdana Menteri India. Modi dengan bagasi sejarahnya kuat memusuhi umat Islam telah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri bagi penggal kedua berturut-turut.

BJP juga kini bertindak keras terhadap wilayah Jammu Kashmir, pengepungan terancang dengan penempatan lebih setengah juta tentera India akan menyaksikan pembantaian skala besar di Kashmir. Segala akses maklumat diredam, tahanan rumah kepada pimpinan parti politik, membatalkan undang-undang pemilikan tanah dan pastinya Kashmir akan menjadi satu lagi kubur besar umat Islam selain Gaza, Syria, Mynmar, Bosnia dan lain-lain.

Tanpa ampun dan segan, Narendra Modi secara terang-terangan mengaku mempunyai kaitan dengan kumpulan Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), sebuah kumpulan sayap kanan yang berpegang dengan ideologi Hindutva, (jangan lupa isu Masjid Babri dan persengketaan agama di negara bekas tanah jajahan British itu).

Ideologi Hindutva atau Hindu Nasionalis ini berpandangan ekstrem, bahawa India ialah milik mutlak bagi penganut Hindu. Mereka yang beragama selain Hindu hanya dibenarkan tinggal jika mereka diberikan kebenaran oleh penganut  Hindu. Pegangan mereka ini tiada dalam kitab suci Hindu namun pandangan politik yang menjadi landasan perjuangan mereka.

Kelompok pelampau ini kerap kali terlibat dan sering dikaitkan dengan pembantaian golongan minoriti muslim di India termasuk isu korban lembu di musim perayaan. Sebuah badan pemantau Hate Crime Watch melaporkan  ‘Religion Based Hate Crime‘ yang mensasarkan golongan minoriti muslim di India membuncah sewaktu pentadbiran  BJP, seterusnya meningkat keresahan awam.

Kita semua dapat membayangkan apa yang bakal terjadi, sekiranya individu seperti pendakwah Dr Zakir Naik dihantar pulang ke tanah leluhurnya. Adakah beliau akan bebas bergerak atau akan diperlakukan dengan kejam oleh pimpinan Kerajaan India yang dipimpin oleh BJP? Jangan naif dan tolol wahai umat Islam dan pemimpin. Kalian boleh sahaja memilih untuk menjadi Raja Najashi atau menjadi gembong Bani Tsaqif yang melontari batu kepada ar-Rasul SAW yang mulia! – HARAKAHDAILY 21/8/2019

Penulis ialah Pengerusi LESTARI, pendakwah, aktivis bantuan tanpa sempadan.