Fokus umat Islam dalam mempertahankan DZN

DISEBALIK kehangatan isu mengenai Dr Zakir Naik ini, kita selaku umat Islam mesti mengambil langkah yang tegas dalam mempertahankan beliau dari desakan kalangan pemimpin DAP dan HINDRAF khususnya yang mahu pembatalan kerakyatan tetap (PR) Dr Zakir Naik serta diusir dari Malaysia. Tidak kurang juga kalangan segelintir Muslim yang tunduk kepada desakan ini yang akhirnya menjadi api dalam sekam dalam isu yang melibatkan polemik ini berterusan.

Advertisement

Isu ini bukan sekadar isu politik, tetapi ia melibatkan isu imej ummah yang berhadapan dengan suara sumbangan mereka yang anti Islam dan memusuhinya.

Sudahlah insiden kematian arwah Mohamad Adib belum terbela, isu pengajaran khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan yang tunduk pada desakan Dong Zong dan banyak lagi.

Fokus utama dalam mempertahankan Dr Zakir Naik ialah isu hak kemanusiaan. Ini kerana ancaman nyawa yang dijangka jika beliau dipulangkan kembali kepada Kerajaan India. Tuduhan yang dikenakan oleh beliau yang diburu oleh Kerajaan India adalah dilihat suatu perancangan sulit dalam menyekat kemaraan dakwah beliau dalam perbandingan agama yang menarik ramai kalangan non– Muslim antaranya penganut Hindu dan Kristian yang akhirnya terbuka hati menerima Islam.

Sehubungan itu, mempertahankan beliau adalah hak dan tanggungjawab sesama muslim berdasarkan tiga perkara asas :

1. Nilai nyawa muslim
2. Wajib bantu orang Muslim dizalimi
3. Haram mendedahkan Muslim kepada musuh

Nilai nyawa Muslim

Membiarkan beliau diancam sehingga tahap nyawa adalah satu malapetaka di sisi Islam. Ini kerana nyawa seorang Mukmin yang hilang tanpa hak, lebih besar nilainya dari kehilangan seisi dunia.

Dari al-Barra’ bin Azib radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ

“Hilangnya dunia, lebih ringan bagi Allah dibandingnya terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak.”

(HR. Nasai 3987, Tirmidzi 1455

Wajib bantu orang Muslim dizalimi

Beliau merupakan pendakwah khususnya dalam bidang perbandingan agama. Seruan beliau adalah mengajak manusia kepada Allah. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan pejuang agama yang tegas mempertahankan kalimah Allah. Membiarkan mereka terancam itu merupakan satu kezaliman dan penindasan serta penganiayaan yang tidak boleh dibuka peluang.

Firman Allah SWT :

أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ * ٱلَّذِینَ أُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِم بِغَیۡرِ حَقٍّ إِلَّاۤ أَن یَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”.”

[al-Hajj: 39 – 40]

Haram mendedahkan Muslim kepada musuh

Ikatan sesama Muslim adalah bersaudara atas simpulan akidah yang merentasi segala sempadan yang ada. Seorang Muslim mesti mengasihi dan memelihara saudaranya sebagaiman terhadap dirinya sendiri.

Lantaran itu, seorang Muslim tidak sepatutnya menyerahkan saudara Muslimnya yang lain kepada pihak musuh untuk disakiti. Larangan ini termasuklah kefahaman dari ayat al-Quran berikut :

وَلَن يَجْعَلَ اللّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلاً

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”

(al-Nisa’: 141)

Ketahuilah, jika Dr Zakir Naik berjaya diusir dari negara Malaysia, hakikatnya ialah musuh Islam sedang menguasai dan mencatur negara Malaysia atas kepentingan mereka yang jelas tidak memihak kepada apa sahaja keuntungan dan kepentingan Islam.

Isu ini perlu dipertahankan dengan kebangkitan ummah bagi memberi pengajaran agar tiada lagi pihak yang boleh perlekeh perkara-perkara yang melibatkan kepentingan dakwah dan ummah.

Ummah usah bertelagah isu cabang dan method pengajian. Fokus utama kita dahulukan sebagaimana tiga perkara yang disebutkan di atas. Ummah mesti bangkit dan bersatu.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Ulamak Memimpin Jalan Penyelesaian”

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP)
Dewan Ulamak PAS Pusat
20 ZulHijjah 1440H / 21 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 21/8/2019