Rujukan pakar langkah terbaik atasi polemik

SAYA menyambut baik pendirian Kabinet bagi melanjutkan lesen operasi kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) selama 6 bulan walaupun mendapat bantahan hebat beberapa pihak sebelum ini. Tindakan pihak Kerajaan menerima pakai pandangan daripada pakar serta saintis yang lebih memahami dan berautoriti tentang sisa radioaktif ini adalah satu tindakan yang tepat berbanding mendengar pandangan luar yang tidak berkepentingan.

Advertisement

Oleh hal yang demikian, Kerajaan seharusnya lebih fokus dalam memastikan pihak Lynas mematuhi semua syarat-syarat baharu yang ditetapkan termasuk undang-undang sedia ada berkaitan dengan sisa yang dihasilkan oleh Lynas Advance Material Plan (LAMP). Kawalan dan pantauan yang ketat amat diperlukan bagi memastikan pihak Lynas mematuhi segala peruntukan perundangan yang sedia ada.

Tambahan lagi, saya turut menyambut baik usaha Kerajaan menetapkan tiga syarat baharu kepada pihak Lynas yang dilihat lebih tegas setelah Kerajaan Australia sendiri menolak penghantaran balik sisa radioaktifWater Leached Purification Residue (WLP) tersebut.

Pada waktu yang sama, Lynas juga seharusnya segera menyediakan perancangan yang teliti bagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan termasuklah berkenaan pembinaan dan lokasi Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) kepada Kerajaan secara spesifik.

Selain itu, saya juga mengesyorkan pihak Lynas terus mengadakan diskusi secara umum bukan sahaja kepada ahli-ahli politik malah rakyat Malaysia khususnya masyarakat Kuantan dengan menyebarkan fakta, maklumat dan tindakan yang diambil terhadap sisa yang dihasilkan oleh Lynas sendiri.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman