Strategi dan ta’awun PAS-Umno bakal benamkan PH

BENTONG: Ketika kemelut dalam kelambu PH sedang hangat menjalar dalam diam ‘ibarat api dalam sekam’, PAS dan Umno pula terus mengorak langkah cemerlang menyimpul ikatan bagaikan mahu ‘hidup mati’ bersama.

Advertisement

Lewat petang semalam, bertempat di ‘rumah merah’ Umno Bahagian Bentong diadakan satu pertemuan mahabbah ‘hari ini dalam sejarah’ antara kedua-dua parti teras tunjang orang Melayu-Islam tersebut.

PAS Kawasan Bentong parti ‘malar hijau segar’ telah diwakili komandan utama Yang DiPertua (YDP), Khairuddin Abdullah dan Timbalan YDP, Ustaz Roslan Mad Esa serta Naib YDP, Samsudin Abdullah.

Juga hadir bersama adalah Ketua Pemuda, Naqib Sahimi seterusnya Ketua Muslimat Kawasan, Roslin Jidin bersama saf utama kepimpinan kawasan lainnya.

Sementara di pihak Umno pula, setia berbusana korporat merah diketuai Timbalan Ketua, Datuk Seri Mohammad Zaini Salleh dan Naib Ketua, Datuk Seri Johari Harun serta Ketua Pemuda, Datuk Ekmal Hamid Zakaria dan Ketua Wanita, Datuk Roslin Abd Rahman diiring anak-anak buah mereka.

“Pertemuan PAS Bentong dan Umno Bentong ini bagi merancang program dan aktiviti bersama khususnya Parlimen Bentong. Kita tak boleh bagi Wakil Rakyat PH duduk selesa tanpa ‘rasa berdosa’,” jelas Khairuddin atau lebih mesra disapa ‘Pak Din’ dalam kalangan orang Umno Bentong pada pertemuan santai itu.

Terdahulu, PAS dan Umno Bentong telah memulakan langkah perkenalan dengan memenuhi undangan mesyuarat agong, iftar Ramadan dan jamuan hari raya di peringkat kawasan dan bahagian masing-masing, awal tahun ini.

“Rahmat atas kekalahan Umno ini, kita dapat bersama,” ujar Datuk Johari membuka kata-kata aluannya.

Ironinya, setelah lebih enam dekat PAS dan Umno terpisah, atas ketentuan Allah mereka kini telah menjalin hubungan ta’awun siyasi.

“PAS dan Umno bukan bergabung. Tu ahli khususnya dan masyarakat amnya kena faham tu. Kami bekerjasama, tolong menolong atas perkara kebaikan demi Islam.

“Siapa mula, apa pun nama gabungan ini, di mana pun tempatnya, itu nombor dua. Apa yang penting PAS dan Umno dapat duduk semeja berbincang dan merancang strategi untuk membenam PH khususnya DAP yang merupakan ancaman kepada orang Melayu dan islam. Kami optimis,” ujar Roslan dalam nada penuh bersemangat.

Menurutnya lagi, rakyat perlu sedar dan ‘buka tempurung’ ambil tahu mengenai kepentingan memiliki ‘power’ atau kuasa politik untuk menyelamatkan sesebuah negara.

Antara dibincangkan adalah berberapa agenda; program jelajah 8 Adun PAS ke Bentong pada 24 dan 25 Ogos ini, Himpunan Perpaduan Ummah Pantai Timur di Kuala Nerus Terengganu pada 22 Ogos. –HARAKAHDAILY 21/8/2019