Syed Saddiq perlu adil selamatkan sukan negara

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman digesa untuk bersikap adil dan rasional demi menyelamatkan sukan negara daripada terus membuat lantikan politik di Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Advertisement

Gesaan itu daripada Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) apabila menerima aduan rakyat dan atlet-atlet negara bahawa Menteri KBS telah bersetuju dengan pelantikan empat belas Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS (Negeri) untuk ditempatkan di jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Malangnya, majoriti yang dilantik adalah ketua-ketua ARMADA bahagian dan negeri.

Menurut Ketua DPIM, Shahir Adnan, hal itu jelas menunjukkan lantikan politik makin berleluasa.
 
Katanya, Menteri KBS semakin tidak konsisten dengan iltizam beliau seawal menjadi menteri untuk tidak membuat lantikan politik.

“Hari ini, sahabat-sahabat ARMADA beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelaras dengan Gred 29.

“Persoalannya sekarang, bagaimanakah proses lantikan pegawai-pegawai ini dilakukan dan apakah kelayakan mereka ini?

“Di manakah ketelusan yang kerajaan Pakatan Harapan laungkan sebelum PRU14?” soalnya.
 
Tegasnya, selagi politik dicampur-adukkan dalam sukan tanah air, ia tidak akan maju, malahan fokus mereka yang dilantik adalah untuk mengekalkan jawatan lantikan politik dan hanya berkiblatkan ketua ARMADA, bukannya kegemilangan sukan negara.

Berikutan itu, pihaknya menganggap lantikan politik ini dibuat di saat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bakal mengadakan pemilihan parti mereka dan Syed Saddiq mahu mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi negeri-negeri.

Shahir juga berkata, ramai anak muda yang sayangkan sukan negara beratur untuk memohon jawatan itu.

“Di saat iltizam 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500 kepada anak muda masih samar-samar, Syed Saddiq dilihat cuba mengaburi mata anak muda dengan mencadangkan gojek atau bike-hailing.

“Apa kata ketua-ketua ARMADA yang dilantik untuk meletak jawatan dan menyokong idea ketua mereka untuk mencari nafkah melalui gojek, bukannya sebagai Pegawai Lantikan Gred 29,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2019