Jejak Utusan: Hanya ahli mampu selamat Harakah

SETIAP kali bertemu seorang bekas pengarah agensi kerajaan, dia tidak lupa menanyakan macam mana pengedaran Harakah. Katanya sudah lama tidak membelek halaman akhbar. Hanya dapat maklumat melalui smart phone.

Advertisement

Seorang guru pencen di Pasir Mas juga menyebut nada serupa. Sudah lama tidak membaca akhbar. Penulis memberitahu Harakah sekadar boleh menampung kos operasi.  
 
Sekadar hendak menyedap bicara. Penulis sebut itu isu global yang sedang melanda industri akhbar sekarang. Banyak gergasi media antarabangsa tutup kedai. Paling tidak pun beralih kepada media digital.

Akhbar tertua negara berusia 122 tahun, The Malay Mail juga sudah menjadi akhbar digital sejak 2 Disember 2018.

Begitu juga akhbar The Sundaily milik Berjaya Media Corporation turut menutup pejabat cawangan di luar Kuala Lumpur.

Pada penghujung tahun lepas juga Jakarta Globe dan Sinar Harapan di Indonesia melabuh tirai. The Independent di Britain yang berusia 30 tahun juga beralih kepada digital.

Langkah serupa dijejaki Akhbar Boston Globe, Philadelphia, Chicago Sun-Time dan Inquirer. Akhbar terbabit susut pengedaran sehingga 90 peratus dan kini berwajah digital.

China yang mempunyai penduduk teramai di dunia juga terkesan. Sebanyak 31 akhbar mencatat kerugian pada 2015. Pengguna internet di China pada 2018 dicatat 800 juta.

Kesan lebih awal dirasai di Amerika Syarikat. The New York Times yang berada di pasaran sejak 18 September 1851 juga terjejas teruk.

Begitu juga Newsweek yang muncul pada 1933 juga menamatkan edisi cetak pada 2012.

Kesan itu sebenarnya dirasai lebih awal. Pada 2008 dan 2009 kemunculan sumber berita atas talian ternyata mengancam kewujudan akhbar tradisional.  

Berdasar kajian peredaran akhbar cetak di Amerika Syarikat menurun 7 peratus pada akhir 2008 dan awal 2009. Media sosial yang dikelompok sebagai media baru sudah menjadi sebahagian menu masyarakat moden.

Kesannya turut membawa perubahan tingkah laku manusia sehingga ramai selesa mendapatkan berita dan maklumat dalam talian.

Fenomena di Amerika Syarikat sudah lama menjangkiti seluruh dunia. Tidak terkecuali juga di Eropah.

Kemelut Utusan

Sehingga sekarang bermakna 10 tahun fenomena itu membadai. Kejutan paling kencang minggu ini apabila Kesatuan Wartawan Kebangsaan mendakwa penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo akan ditamatkan.

Kemelut kerugian antara RM2 juta hingga RM3 juta setiap bulan tidak mampu ditanggung pengurusan Utusan. Sedangkan ketika era kegemilangan pernah dicetak 350,000 naskhah sehari.

Paling tinggi Mingguan Malaysia pernah dicetak 600,000 naskhah bagi edisi Ahad. Rekod serupa juga pernah dialami Harakah. Pada era reformasi pernah dicetak melewati 380,000 naskhah setiap edisi.

Kejayaan itu mengatasi konglomerat media di Malaysia. Harakah diterbit di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur tanpa ada bangunan gah seperti Utusan, Media Prima dan Sinar Harian.

Hanya ada dua unit rumah kedai tiga tingkat berhadapan Hospital Tawakal. Harakah mungkin bernasib baik kerana kos operasi jauh lebih rendah berbanding akhbar harian.

Namun gegaran jualan juga merosot. Tempias melanda akhbar milik PAS itu sejak 2017 lagi, apabila sebahagian tenaga karyawan dan produksi meninggalkan Harakah.

Nasib menimpa kakitangan Utusan, di mana gaji ditangguh dengan bayaran terakhir pada Jun lepas. Ini tentunya amat memeritkan.

Sejak akhir tahun lepas kakitangan Utusan berkurang daripada 1,400 kepada 823 orang sekarang.

Apakah nasib serupa tempias juga kepada Media Prima dan Sinar Harian.

Media Prima yang menerbit Berita Harian, New Straits Times dan Metro dilapor mencatat kerugian bersih RM669 juta pada 2017.

Begitu juga Sinar Harian yang dimilik Karangkraf juga berdepan kemelut serupa. Khabarnya loji percetakan di Pengkalan Chepa akan ditutup dan sebahagian tenaga karyawan dipindahkan ke Shah Alam.   

Apakah kemelut yang melanda industri akhbar cetak ada cahaya di hujung terowong. Ketika akhbar harian bergelut mencari pembaca, Harakah sejak kewujudan pada 1987 berorientasikan ahli dan penyokong.

Begitu juga Utusan Melayu, modal awal dipungut daripada orang Melayu pada 1939. Berpangkal sejarah itu, hari ini dunia akhbar nampaknya perlu kembali kepada fikrah tersebut.

Orang Melayu perlu menjadi penyelamat ketika isu perkauman dan tuntutan bukan Islam semakin mengada-ngada.

Namun Utusan tidak lagi menjadi milik dominan Umno. Pegangan sahamnya susut daripada 49.77 peratus kepada 18.17 peratus pada 8 Januari lepas.

Maknanya Utusan agak sukar untuk meraihkan kembali sokongan padu orang Melayu berpayung di bawah Umno.

Agak jauh berbeza dengan Harakah masih 100 peratus milik PAS. Lebih-lebih lagi ketika gelombang penyatuan ummah sekarang.

Ahli PAS sekarang lebih 800,000 orang. Merekalah yang mampu menjadi penyelamat akhbar yang bertema Membangun Bersama Islam. – HARAKAHDAILY 22/8/2019