Sokong larang Jawi pada produk bukan Muslim

LARANGAN penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam sebagaimana gesaan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) amat wajar dipertimbangkan. Cadangan ini sememangnya tidak popular, malah menjumudkan inklusif dakwah, selain berisiko menambahkan lagi rencah perasaan perkauman. Tetapi ia dilihat mampu menangani banyak isu berkaitan jika sekiranya diusulkan akta khas ke Parlimen.

Advertisement

Kerana realitinya, tulisan Jawi jelas telah disalah guna, dimanipulasi dan menjadi unsur pemerdayaan terhadap pengguna. Di mana kepada masyarakat bukan Islam, tulisan Jawi telah diperlekeh hina serta diadu domba, dimomok dan difitnah kononnya ‘gerakan’ Islamisasi. Jika demikian buruk dan jahatnya tulisan Jawi, maka amat tidak wajar ia dijadikan hanya untuk melariskan produk yang tak ubah seperti didagangkan atau dilacurkan.

Sedangkan martabatnya bagi umat Melayu-Islam amat tinggi, tiba-tiba bagi pihak yang mahu mencampak buangnya, menjadikan ia alat tarikan dan keuntungan. Ini tentulah tidak adil, malah cadangan seumpama juga sesuai diterapkan pada pelaksanaan papan tanda dan sebagainya yang lain. Ia tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengertian, apatah lagi jika sekadar mengaburi mata pengguna secara salah dan menipu.

Ironinya, penggunaan logo Halal JAKIM juga wajar dipinda yakni tidak menggunakan kaligrafi Jawi bagi perusahaan, premis atau produk bukan dimiliki Muslim. Kerana ia memberi hak secara peribadi kepada pengguna untuk membuat pilihan alternatif yang luhur dan tanpa sebarang keraguan. Sebab semua ini terkait dengan keyakinan iman, setelah pula kes-kes pertikaian terhadap Islam serta segala simbolnya membibitkan soal ketidakjujuran.

Banyak kecurangan dalam perniagaan yang memperalatkan Jawi mahupun logo Halal masih berlaku, sedangkan penguatkuasaan pula tertakluk kepada aduan. Lebih penting dari itu juga, ini adalah pendekatan ‘mendidik’ mereka yang selama ini sombong dan angkuh merosakkan reputasi agama, umat dan segala bersangkutan dengan Islam. Moga ia jadi pengajaran dan mampu merasionalkan kembali tindakan emosi pihak terbabit.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang – HARAKAHDAILY 22/8/2019