Lebih undang keburukan berbanding kebaikan

KUALA LUMPUR: Penggunaan perkhidmatan Gojek boleh menjerumus ke arah kes jenayah seperti gangguan seksual, rompak dan pelbagai kes yang mengundang risiko keselamatan selain berisiko meningkatkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya, kata Ahli Dewan Negara, Ustaz Dato’ Husain Awang. 
 
Menurut beliau, berdasarkan laporan statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), kadar kemalangan maut yang melibatkan motosikal  bagi tempoh 9 tahun (2009 hingga 2018) mencatat jumlah yang tertinggi iaitu 42,087 kematian berbanding kenderaan lain. 
 
Sehingga Mac 2019, sebanyak 944 kes kemalangan maut melibatkan motosikal dilaporkan di Malaysia yang menjadi bukti jelas bahawa motosikal berisiko berhadapan dengan kemalangan maut jalan raya jauh lebih tinggi berbanding kenderaan lain. 
 
Selain itu katanya, perkhidmatan Gojek dipercayai mampu meningkatkan kadar pencemaran udara sedia tercemar, khususnya kawasan bandar yang pesat. 
 
“Hal ini tidak selari dengan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dioksida.  Apatah lagi, Malaysia yang merupakan salah satu negara membangun dunia yang berhadapan dengan masalah kualiti udara bandar yang serius selain Jakarta, India, China dan Thailand,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini. 
 
Disamping itu, beliau turut melihat usaha tersebut tidak relevan dengan majoriti penduduk Malaysia yang beragama Islam serta dilihat mampu mengundang satu fitnah besar dan tidak sesuai apabila penunggang dan penumpang adalah bukan mahram. 
 
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya meneruskan hasrat untuk melaksanakan perkhidmatan Gojek ini dan berusaha menambah baik kualiti pengangkutan awam seperti Rapid KL, Mass Rapid Transit (MRT), Light Rapid Transit (LRT) serta kempen ‘carpool’ kepada orang awam yang dilihat lebih mesra alam.
 
“Hal ini juga telah terbukti menunjukkan sistem pengangkutan awam gagal dilaksanakan oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di negara kita dengan adanya perkhidmatan Gojek ini.
 
“Dalam pada itu, janji Kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dilihat gagal dan mengecewakan sehingga Kerajaan menyediakan satu peluang pekerjaan yang menghina maruah anak-anak muda negara kita pada hari ini,” jelasnya. 
 
Beliau pada masa sama turut berharap agar kerajaan tidak tergesa-gesa membuat keputusan untuk melaksanakan hasrat tersebut yang secara dasarnya amat tidak relevan dipraktikkan di negara ini. 
 
Ahad lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyatakan hasratnya untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek.
 
Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.
 
Bagaimanapun, hasrat tersebut dilihat mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk Pesuruhjaya PAS Terengganu itu. – HARAKAHDAILY 23/8/2019
Advertisement