Ahli PAS dan DHPP: Jangan terjerat oleh isu kaum

FENOMENA jerebu yang saban tahun melanda negara ada kaitannya dengan tiupan angin dari negara orang. Akibatnya penduduk dalam negara sesak nafas dan terkesan. Lagi banyak hot spots lagi teruklah gejala.

Advertisement

Semua teruja bila hari hujan apabila jerebu melanda kerana API (air pollutant index)atau kadar pencemaran akan turun dengan turunnya hujan. Lega!

Mutakhir, jerebu kecamuk politik dalam negara yang melibatkan pimpinan tertinggi parti-parti politik yang sedang memerintah menyesakkan nafas pengikut dan pengundi mereka. Macam macam isu. Yang sulit dan  memalukan. Isu ekonomi yang semakin membimbangkan. Paling kritikal dan bahaya adalah isu perkauman yang diledakkan.

Maka seperti air hujan yang meredakan jerebu, ketegangan kaum berjaya melenyapkan isu hubungan sulit pimpinan serta isu integriti pemegang kuasa!

Kelihatan pula dua parti terbesar Melayu di ambang bertaut dalam menzahir kerjasama yang serius maka logiknya akan benar benar mengancam kelestarian kuasa politik parti pemerintah.

Mesti sedar

Ahli PAS dan ahli DHPP serta penyokong PAS harus segera sedar permainan politik pihak lawan. Jangan cepat melatah.

PH ada ramai agen terlatih yang ditugas khas untuk misi ‘divide and rule’PAS dan blok pembangkang. Mereka nekad mahu pecah dan terus perintah kita. Mereka mahu ahli PAS terikut ikut rentak yang dipasangnya. Sudah ada yang terus menari dengan rentak tersebut! Stop!!

Ada yang terbawa bawa dengan budaya lama dan terikut ikut dengan kawan siber atau orang lain yang tidak sensitif dan sering terlajak kata dengan istilah dan bahasa yang kasar, kesat bahkan menyakitkan hati si pendengar atau pembaca.

Ini bukan budaya PAS! Ini bukan ciri kita! Apa sahaja yang tidak menepati piawaian Islam ia juga bukan PAS.  Mudah… kerana dasar PAS ialah Islam.

Ia bertentangan dengan prinsip perjuangan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS.

PAS komited dengan usaha menjaga keharmonian kaum dan menjaminkan hak untuk semua termasuk beragama. Ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar yang lalu telah jelas menyatakan dasar ini. Bahkan telah dimuatkan jaminan hak Non-Muslim dalam ucapan Presiden.

Bagi ahli PAS, kita perlu banyak beristighfar, berlapang dada dan mencontohi akhlak Nabi S.A.W. Allah mencipta perbezaan dan kepelbagaian dari segi bahasa, warna, budaya bahkan agama. Bukan kerja kita. Itu kerja Allah. Jadi PAS tidak ada isu dengan berlainan warna, bahasa, budaya dan agama.

Ahli DHPP jadi sasaran musuh PAS

Ahli PAS perlu empati dengan rakan ahli DHPP. Mereka menjadi sasaran mudah bagi musuh yang mahu menangguk di air yang keruh.

Isu sensitif yang melibatkan bahasa, bangsa dan agama akan digunakan sebagai senjata untuk menekan secara psikologi rakan ahli DHPP oleh mereka yang berkepentingan. Kasihan mereka diserang bertubi tubi kerana apa? Kerana mereka menyokong PAS.

Perbezaan ras, bahasa dan agama mereka tidak menghalang mereka menyokong dan mendokong Parti Islam PAS….Ini tidak masuk akal!!! Ini terbalik daripada kemahuan lawan dan musuh PAS.

Ini faktor utama mereka diserang agar mereka kurang yakin bahkan sanggup meninggalkan PAS. Ini fakta yang perlu difahami oleh semua ahli PAS dan saudara seperjuangan ahli DHPP.

Lindungi Abu Talib PAS

Fahami dan hormatilah Abu Talib kita. Sayangi mereka. Jangan jadi lidah musuh menyakiti mereka.

Teladani akhlak Nabi S.A.W dalam hubungan denganNon-Muslims. Contohi kaedah dakwah siyasah Rasulullah S.A.W dalam masyarakat Madinah yang majmuk.

DR HALIMAH ALI
Pengerusi
Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat
24 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 24/8/2019