Ameerah Pekan mahirkan teknik pengucapan awam

PEKAN: Ameerah Kawasan Pekan telah melaksanakan Bengkel Teknik Asas Pengucapan Awam Siri 1 bertempat di Dewan SRITI Al-Husna, Maahad Tahfiz Al-Furqan, di sini kelmarin.

Advertisement

Menurut Ketua Ameerah Pekan, Siti Zulaikha Abdul Halim, bengkel ini sebagai persediaan Muslimat Muda berucap di khalayak dengan berkesan dan berkeyakinan, disamping mencungkil bakat dan potensi diri.

Bengkel ini telah disampaikan oleh Pensyarah DRB-HICOM Universiti Automotif Malaysia, Noor Faezah Basary yang pernah tersenarai sebagai Top 4 pembaca berita di sebuah stesen televisyen.

Beliau telah berkongsi pengalaman dan kejayaan yang diraih sepanjang penglibatannya dalam bidang pengucapan awam sebagai inspirasi kepada peserta di awal sesi bengkel.

Pemegang Ijazah Kewangan dan Perbankan Islam ini berpengalaman dalam pengucapan awam serta pengerusi majlis bagi program berskala besar yang mana melibatkan orang kenamaan dan kerabat raja sebagai tetamu utama.

Menurut beliau, komunikasi adalah pemindahan maklumat dan makna daripada satu pihak yakni penghantar kepada pihak yang lain selaku penerima.

Di mana jelasnya, komunikasi dianggap berjaya apabila 5C’s digunakan dengan betul clarity, conciseness, completeness, correctness dancourtesy (kejelasan, kesempurnaan, kelengkapan, ketepatan dan ihsan).

Peserta turut didedahkan dengan pelbagai teknik dan ilmu dalam bidang komunikasi, lebih-lebih lagi pengucapan awam di mana kemudiannya dipraktikkan oleh peserta dalam sesi kedua iaitu ucapan spontan.

Pengarah Program, Ustazah Siti Basyirah Ibrahim menyifatkan ilmu pengucapan awam yang diperolehi daripada bengkel ini amat bernilai dan bermanfaat.

“Ameerah selaku yang diamanahkan mempromosikan PAS kepada umum selayaknya lah memiliki ilmu mengenai Islam dan belajar bagaimana cara untuk menyampaikannya dengan lebih jelas,menarik dan berkesan,” serunya memberi harapan. – HARAKAHDAILY 26/8/2019