Perpaduan: K’jaan Melayu Islam akan terbentuk

KUALA LUMPUR: Sejarah negara telah menukilkan bahawa perpaduan antara kaum sangat penting bagi membina sebuah negara yang baik, malah perpaduan antara kaum tidak akan wujud sekiranya orang Melayu sendiri tidak bersatu padu.

Advertisement

Demikian itu, betapa pentingnya kebersamaan dan kesepaduan dalam kalangan orang Melayu Islam itu sendiri supaya tidak timbulnya sikap meminggirkan kaum, bangsa dan agama lain yang ada di negara ini.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sekiranya perkara itu diambil berat oleh orang Melayu, sebuah kerajaan yang baik di bawah kepimpinan orang Melayu Islam akan terbentuk.

“Kalau lihat sejarah tahun 1945 semasa menentang Malayan Union, apakah sebab kita boleh menentang? Kerana kita bersepadu oleh kerana itu penjajah akur dengan permohonan yang dibuat oleh orang dahulu.

“Kadang kala kita perlu melihat apakah kesilapan yang pernah kita lakukan sehingga berlakunya sebagaimana hari ini.

“Oleh kerana kita mempunyai kesilapan itu sebab kita hilang kuasa dan telah dipimpin oleh kerajaan yang tidak lagi mengiktiraf orang Melayu dan agama Islam itu teras dalam negara ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional 2019 di Kuala Lumpur International Hotel di sini hari ini.

Katanya, selama 61 tahun negara merdeka, rakyat pelbagai kaum hidup dengan aman dan sentosa, namun kini ada pihak yang menggunakan taktik ‘reverse discrimination’ mengatakan orang Melayu menindas mereka kerana tidak memenuhi kehendaknya.

Malahan, apabila orang Melayu bercakap tentang hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan, ada pihak minoriti di negara ini mengatakan bahawa orang Melayu rasis.

“Kita kena berhati kerana ini satu provokasi supaya kita (orang Melayu) melenting dan mereka akan mengatakan orang Melayu ini yang menindas mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang Melayu berjaga-jaga dan tidak perlu melenting tanpa sebab apabila adanya provokasi daripada yang cuba untuk mengucarkacirkan keamanan dan keharmonian negara.

Selain itu beliau mengharapkan masyarakat menggunakan saluran yang betul menerusi perundangan yang ada dengan membuat laporan pada pihak berkuasa apabila timbulnya provokasi.

Tegasnya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dalam perkara ini termasuk penghinaan kepada orang Melayu, agama Islam dan Institusi Raja-raja yang kini semakin rancak berlaku dalam media sosial.

Musa turut menyentuh usaha setengah pihak yang cuba untuk menukarkan sejarah negara dengan mengiktiraf komunis sebagai pejuang kepada mereka sedangkan pihak tentera dahulu bermandi darah untuk menjaga keamanan negara daripada komunis yang merupakan musuh negara.

“Kita tidak akan membenarkan komunis itu diiktiraf, malah kita juga penghinaan terhadap tentera, itu satu tindakan yang teruk kerana tentera menjaga negara ini dengan aman sehingga mereka menjadi kaya raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2019