Al-Hizbiyyah dan timbangannya

TAKRIF Hizbiyyah dan keharusannya

Advertisement

Al Hizbiyyah secara mudahnya bermaksud semangat kepartian. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dalam sudut politik, ‘parti’ bermaksud;“Satu golongan (kumpulan) orang yang bergerak untuk tujuan (dasar dan lain lain) yang sama dalam politik”

Dalam masa yang sama, di sana terdapat banyak takrifan di dalam al Quran, terhadap perkataan Hizb (parti) itu sendiri. Antaranya Surah at Taubah ayat 56, Surah al Mu’minun ayat 53, Surah ar Rum ayat 31 dan 32, Surah al Mujadalah ayat 19, Surah Fathir ayat 6 dan banyak lagi.

Merujuk kepada tafsiran para ulamak, seperti Imam Thabari, Imam Qurtubi dan Imam Ibn Kathir terdapat pelbagai tafsiran, makna Al Hizb. Secara umumnya ia bermaksud jamaah, tha’ifah, firqah dan aliran. Atau dengan kata lain bermaksud kelompok. [1]

Darul Ifta’ al Misriyyah sendiri pada tarikh 26 Januari 2018 menerbitkan kenyataan Mufti Mesir yang mengharuskan hizbiyyah selagimana tidak bercanggah dengan nas syarak apatah lagi pelampauan.

Manakala beberapa tokoh ulamak Saudi seperti Syeikh Abdul Aziz bin Baz dalam Majmu’ Fatawa tidak mengharuskan keterlibatan dalam parti politik kerana hakikat kebenaran itu dengan berpegang pada al Quran dan Sunnah, bukannya parti politik.

Selain itu, wujudnya doktrinisasi sekularisma yang menterjemahkan hizbiyyah itu hanya semata mata sebagai taksub atau asabiyyah atas dasar untuk menjauhkan terus ummat Islam daripada melibatkan diri dalam politik.

Parti yang berperanan sebagai Jamaah

Berdasarkan dapatan daripada al Quran dan Hadis, ringkasnya parti itu sendiri terbahagi kepada dua jenis,

1) Parti yang benar iaitu parti yang berpegang dengan al Quran dan Hadis yang sama maksudnya dengan al Jamaah. [2]

2) Parti yang batil, iaitu parti yang menyalahi prinsip dan dasar Islam atau memerangi Islam [3]

Antara ciri-ciri semangat kepartian (al Hizbiyyah) yang dianjurkan oleh syara’ bahkan bertepatan dengan maksud ‘al jamaah’.

Kesungguhan dalam berjemaah selaras dengan ayat-ayat jihad di dalam al Quran

وجاهدوا في سبيل الله

Teguh pendirian terhadap prinsip Islam berdasarkan ayat 103 Surah Ali Imran.

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Selari dengan kebenaran, Abdullah Ibn Mas’ud menyatakan

الجماعة ما وافق الحق وإن كنت وحدك

“Jamaah itu apa yang selari dengan kebenaran sekalipun kamu keseorangan”

Jemaah yang berperanan amar makruf nahi munkar berdasarkan ayat 104 Surah Ali Imran.

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر

Keperluan berjemaah dan berparti

Dalam konsep Jamaah yang bergerak atas nama parti politik, boleh difahami melalui kaedah

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

“Sesuatu yang tidak sempurna satu kewajipan itu melainkan dengan kewujudannya, maka ia adalah wajib.”

a) Nak laksana Islam di Malaysia, perlukan undang-undang dan penguatkuasaannya.

b) Nak wujudkan undang-undang tersebut, perlu ada kuasa majoriti dalam Parlimen dan Dun.

c) Nak dapat kuasa majoriti Parlimen dan Dun, perlu menang dalam pilihanraya.

d) Nak menang dalam pilihanraya sebagai majoriti, perlu ada parti.

e) Nak wujudkan parti perlu ada jemaah.

f) Nak gerakkan jemaah perlu ada individu-individu yang mempunyai keselarian fikrah dan keselarasan gerak kerja.

Justeru, kewujudan PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama berentitikan jamaah di atas dasar al Quran dan Hadis menjadi satu keperluan untuk menegakkan Islam di Malaysia.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Air Kuning, Ahad, 25 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 26/8/2019

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1168668619993276/

[2] Rujuk huraian al Jamaah di dalam https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1462469310461491&id=100000953077134

[3] Surah al Ahzab 20, Surah Shad 11 dan lain lain