Peserta ‘tanah terkilan’ beruntung – Exco

SETIU: Kerajaan Terengganu yang baharu kini bersetuju menaikan tempoh pajakan tanah pertanian sama seperti tanah kediaman daripada 60 tahun kepada 99 tahun.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, para peserta ‘tanah terkilan’ cukup bertuah di bawah kerajaan baharu ini.

Ini kerana, katanya selain dikenakan bayaran premium lot tanah kediaman serendah 10 peratus juga dinaikan tempoh pajakan tanah pertanian kepada 99 tahun berbanding sebelumnya 60 tahun sahaja.

“Kerajaan negeri juga telah membuat keputusan tempoh pajakan tanah pertanian sebelum ini 60 tahun. Tapi, kerajaan negeri telah menaikan tempoh pajakan tanah pertanian sama dengan tanah kediaman kepada 99 tahun.

“Dengan harapan tanah yang diberikan oleh kerajaan itu boleh dimanfaatkan supaya dia tidak akan jadi tanah terbiar,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Borang (Jadual) 5A Peringkat Daerah Setiu, di Dewan Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu, hari ini.

Menurut Dr Azman, keluasan tanah pertanian seluruh negeri Terengganu yang dikategorikan tanah terbiar berjumlah 12,000 hektar.

“Tanah terbiar ini tanah yang ada tuan, sama ada tuan itu perseorangan atau syarikat, yang tidak dimajukan dalam tempoh tiga tahun. Jika tanah kerajaan tidak dikategorikan tanah terbiar.

“Kita bekerja keras untuk memajukan tanah terbiar dan setakat ini, data terakhir daripada bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pertanian dan Asas Tani memaklumkan bahawa, negeri Terengganu berada di kedudukan kedua dari segi kejayaan memajukan tanah terbiar itu selepas daripada negeri Pahang, seramai 1,150 orang yang terlibat memajukan tanah terbiar.

“Kita mahu Setiu, yang dikategorikan sebagai daerah pertanian dengan tanahnya yang masih banyak (kosong) dimanfaatkan dengan sebaik-baik oleh rakyat,” tegasnya yang juga Adun Jabi.

Sebelum itu, katanya kerajaan negeri juga memberi kelonggaran kepada rakyat menyelesaikan bayaran premium tanah secara ansuran.

“(Kerajaan) Sebelum daripada ini, kelayakan untuk bayar premium tanah secara ansuran ialah mereka yang berpendapatan RM700 ke bawah sahaja.

“Kerajaan baharu Terengganu telah menaik kelayakan kepada berpendapatan RM1,750 ke bawah. Maknanya, kita bagi ruang yang lebih lapang kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun. Bayar pun bukan tiap-tiap bulan, ada duit bayar cukup tempoh dapat geran. Tapi dengan syarat membayar deposit permulaan sebanyak 20 peratus.  

“Peserta hari ini sangat beruntung kerana yang kita kategori sebagai ‘terkilan’. Premium tanah itu hanya dikira sebanyak 10 peratus daripada nilai tahun 2004 dahulu dan bukan nilai semasa (20 peratus) tahun 2019,” jelasnya disambut dengan tepukan hadirin.

Harakah dimaklumkan, jumlah peserta tanah yang terkilan itu seramai 12,946 orang seluruh negeri Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, dan yang sempat selesai dalam tempoh setahun ini sebanyak 6178 orang pemohon iaitu 48 peratus.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis penyerahan borang Jadual 5A itu kepada 503 orang penerimanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2019