Walimah PAS Pekan 2.0 realisasi agenda kebajikan

PEKAN: PAS Kawasan Pekan telah meraikan pasangan pengantin baru Mohd Azril Kadir dan Rafiah Jamaluddin dalam program walimahnya yang kedua bertempat di Masjid Sultan Ahmad Shah Al Haj, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini menjadi salah satu inisiatif dan komitmen PAS dalam memastikan kebajikan ummah dan secara tidak langsung menyerlahkan izzah Islam itu sendiri.

Menurut Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kasim Manaf, program ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban setiap pasangan yang ingin berumahtangga.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa ini juga di antara usaha untuk membina rumah tangga Islam yang akan menjadi batu asas kepada masyarakat Islam dan akhirnya dapat mewujudkan sebuah negara Islam.

Pengarah Program yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim memberi keyakinan akan meneruskan program walimah ini untuk tahun 2020 di samping mengharapkan lebih ramai lagi penyertaan.

Selain sanak saudara dan rakan taulan, majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Noor dan Naib Yang Dipertua PAS Pekan, Kapt Ahiyatudin Daud dan Datuk Nizar Datuk Seri Mohd Najib.

Pasangan mempelai yang mengenakan sepesalinan hijau diiringi masuk ke masjid oleh konvoi ARC dan kemudian disambut dengan paluan kompang dan selawat serta persembahan silat.

Ianya sekali gus menyerlahkan majlis ini masih mengekalkan ciri-ciri perkahwinan Melayu di mana walaupun bersifat sederhana, namun tetap meriah. – HARAKAHDAILY 27/8/2019