Muslimat PAS-Wanita Umno Bangi usrah bersama

BANGI: Pemahaman terhadap Islam dan penghayatan berkenaan tanggungjawab seorang Muslim boleh dilestarikan melalui pelaksanaan usrah yang berterusan.

Advertisement

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bangi, Hamsatul Hamzah menjelaskan, usrah secara konsisten dan berstruktur dapat menjadi medan perbincangan; bukan hanya berkaitan agama, malah lebih luas mencangkupi seluruh ruang lingkup manusia.

Katanya, Usrah Penyatuan Ummah yang dianjurkan Muslimat PAS Bangi merupakan satu inisiatif terbaik untuk memantapkan makna perjuangan Islam yang wajib diperluaskan kepada umum.

“Usrah Perpaduan Ummah ini menjadi salah satu usaha memperkukuh tali silaturahim diantara Muslimat PAS dan Wanita Umno. Ia juga menjadi medan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran antara dua entiti parti utama Malaysia ini,” ujar beliau kelmarin dahulu.

Seramai 20 Muslimat PAS dan 15 Wanita Umno telah hadir mendengar pengisian yang diberikan Ketua Muslimat Cawangan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Ustazah Nasriah Ismail berkisar sifat orang yang mendapat kebaikan berdasarkan ayat 1 hingga 5 Surah al-Baqarah.

Ustazah Nasriah berpesan kepada semua yang hadir agar kembali kepada Al-Quran sekiranya berhadapan dengan perbalahan dan masalah.

Terang beliau, ia merupakan sikap Mukmin yang disebut dalam Al-Quran di mana diturunkan bertujuan memberi petunjuk kepada manusia sejagat tanpa sebarang keraguan.

Beliau juga menyeru semua yang hadir agar ikhlas dalam melakukan ibadah sehingga mendapat buah nikmat ‘zouq’ kepada Allah.

Muslimat PAS dan Wanita Umno juga diajak untuk memperbanyakkan bacaan doa dan melakukan ibadah sunat seperti solat tahajjud, solat dhuha dan membaca Al-Quran.

Disamping nasihatnya untuk menjaga ukhuwah dalam merealisasikan makna surah Al-Baqarah yang telah ditadabbur dalam usrah tersebut. – HARAKAHDAILY 28/8/2019