Perhambaan warga pekerja masih lagi berleluasa kini

SUBANG: PAS komited agar pembelaan hak membabitkan isu golongan pekerja terus diperjuangkan hingga diberi martabat yang sewajarnya, demikian tekad dinyatakan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Advertisement

Komitmen tersebut dinyatakan beliau pada pertemuan muhibah delegasi lajnah diterajui Ahli Parlimen Rantau Panjang ini bersama pimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Wisma MTUC, USJ 9 Subang Jaya, di sini tengahari tadi.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon dalam ucapannya menyedarkan wakil PAS mengenai keadilan hak asasi manusia untuk warga pekerja yang masih terabai lagi mengecewakan, di mana semua itu turut mempengaruhi keluarga mereka dan negara.

Terangnya, terdapat begitu banyak isu eksploitasi, penipuan dan penindasan berat ke atas golongan pekerja serta bertentangan perundangan negara dan antarabangsa, namun berdepan cabaran apabila ia didiamkan yakni enggan dilaporkan pihak media.

Jelas beliau, antara aspek paling terkesan kepada pekerja adalah wujudnya isu pendapatan yang menyebabkan ramai mereka berada dalam jurang kemiskinan paling dalam dengan turut dijerut oleh masalah hutang hingga mempengaruhi sosial kehidupan.

Namun kesali Solomon, banyak isu yang diangkat ke pihak sewajarnya, sekadar dinafikan serta berdepan alasan tidak munasabah bersifat menganiaya golongan pekerja, ketika sama dilabel dengan imej buruk seperti malas dan seumpamanya.

Sanggah beliau, pekerja Malaysia adalah antara yang rajin, namun dikecewakan oleh gaji rendah termasuk tuntutan gaji minimum; hingga kini gagal dipenuhi kerajaan, menyebabkan juga tidak kurang yang berhijrah bekerja di luar negara dengan pendapatan lebih baik.

Ketika sama, beliau turut menyuarakan isu pekerja asing dari pelbagai negara yang begitu mudah memasuki Malaysia, yakni direkodkan kehadiran sekitar 10,000 orang sebulan, di mana menjadi antara punca pengaliran mudah wang negara keluar.

Hal tersebut menurut Solomon, tidak berlaku di negara-negara maju yang mengetatkan kemasukan golongan tersebut, sedangkan kewenangan sama berlaku di negara ini berpunca dari isu ‘lorong tikus’ dan rasuah, terutama di pintu-pintu masuk negara.

Hadir sama pada sesi ini adalah Timbalan Pengerusi Lajnah yang juga Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir serta Ahli Jawatankuasa Lajnah, Makhtar Hashim.

Terdahulu, delegasi ditaklimatkan mengenai sejarah MTUC sejak penubuhan tahun 1949 oleh Penolong Setiausaha Pendidikan MTUC, K Soma, termasuk sebelum tahun 1947 berdepan gimik pemerintah yang melayan kesatuan sekerja seperti kumpulan militan dan pekerja seakan hamba.

Beliau menegaskan pentingnya para pekerja bersolidariti dan memastikan jaminan hak mereka menerusi penubuhan serta penglibatan bersama kesatuan sekerja, selain keperluan bersama dalam gabungan peringkat nasional.

Manakala pembentangan daripada Penyelaras Projek MTUC, Zul Thye pula menyentuh mengenai aktiviti kongres terutama dalam memberi kesedaran kepada golongan pekerja termasuk warga asing dalam mencapai pelbagai matlamat diperjuangkan.

Sementara Ahli Majlis Am MTUC, Rudy Rusly menjelaskan, usaha kepada pekerja asing adalah sebagai mematuhi peraturan antarabangsa, selain langkah penyelesaian kepada isu lambakan warga asing di negara ini berikutan manipulasi pihak majikan.

Terangnya, pekerja warga asing terus mendapat permintaan tinggi majikan berikutan mereka semudahnya dieksploitasi dan dinafikan hak terutama bayaran kerja lebih masa (OT), selain mendiami kawasan yang amat mengerikan dan tidak wajar.

Pihak MTUC juga percaya, walaupun dinyatakan jumlah rasmi pekerja asing adalah 1.8 juta, hakikat sebenar disembunyikan adalah jauh lebih tinggi dipercayai hingga 5 juta, selain menuntut perlunya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dalam isu ini. – HARAKAHDAILY 28/8/2019