Himpunan 14 Sept: Presiden PAS kunjungi Zahid

HULU TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kunjungan beliau ke rumah Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih kepada pengukuhan program himpunan 14 September depan.

Advertisement

Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan dan mengemaskini kenyataan bersama mengenai Piagam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang akan dimeterai PAS dan Umno.

Menurutnya, pertemuan itu turut membincangkan dari segi penyusunan wakil-wakil daripada parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan tetamu khas.

“Ini merupakan pertemuan akhir sebelum 14 September, selepas ini kita serah kepada jawatankuasa teknikal yang mewakili dua buah parti terbesar iaitu PAS dan Umno.

“PAS sebelum ini telah adakan pertemuan dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera iaitu parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) dan Ikatan (Parti Ikatan Bangsa Malaysia) serta NGO.

“Umno juga mengadakan pertemuan dengan komponen Barisan Nasional (BN), dan kita (PAS) mewakili gagasan masing-masing dan bersepakat untuk hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah itu,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Maahad Baitur Rahman di Kampung Banggol Donas, Manir, hari ini. (Foto atas)

Katanya lagi, pertemuan itu diatur oleh Ahmad Zahid yang sebelum ini pernah datang berkunjung ke Pejabat Agung PAS dan Kuala Terengganu.

“Pertemuan (di rumah Zahid) itu diatur dan oleh kerana dia pernah datang ke Pejabat Agung PAS, dia pernah datang juga ke Terengganu, dan ini giliran saya pula pergi ke rumah dia,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama taawun antara PAS-Umno hingga memeterai piagam perpaduan ummah itu ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.

Hadir sama pada majlis pecah tanah itu, Adun Manir, Ustaz Hilmi Harun, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, Pegawai Khas Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran GK dan Pengerusi Maahad Baitur Rahman, Ustaz Ahmad Muzani Abd Rahman. – HARAKAHDAILY 29/8/2019

P3