Khianat KLIA: Bimbang cetus insiden keganasan

KUALA LUMPUR: Laporan polis yang dibuat oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengenai perbuatan khianat sehingga menyebabkan kegagalan rangkaian di KLIA adalah amat serius kerana melibatkan aspek keselamatan negara.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sekalipun telah kembali normal pada hari ini, gangguan sistem sejak 21 Ogos lalu selama beberapa hari di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk negara itu dibimbangi telah mendedahkan negara dan orang awam kepada bahaya dengan kemungkinan kemasukan pendatang asing tanpa izin dan berlakunya aktiviti penyeludupan terutamanya jika melibatkan dadah dan senjata yang boleh membawa kepada insiden jenayah dan keganasan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menjelaskan situasi sebenar keselamatan pada masa ini dan langkah-langkah khas yang dilaksanakan bagi memantau dan mengawalnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penyelarasan dan usaha sama antara agensi-agensi berkaitan seperti PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, RELA dan AADK mesti ditingkatkan serta dilengkapkan dengan kemudahan fasiliti dan peralatan yang diperlukan bagi menghadapi perkara itu.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) juga mesti menyemak semua ‘Standard Operating Procedure’ berkaitan penyeliaan dan pengendalian rangkaian dan sistem di semua lapangan terbang di negara ini supaya insiden itu tidak berulang. – HARAKAHDAILY 29/8/2019