Pengerusi Bersatu T’ganu, Dato’ Razali ‘bbuak pulok’

DALAM bahasa percakapan Terengganu, kami mempunyai hukumtajwidyang tersendiri. Bagaimana cara menyebut satu-satu perkataan juga boleh membawa bunyi yang hampir sama, tapi jauh berbeza maknanya jika disebut. Contoh ‘kucing makang ikang’ ialah ayat aktif biasa yang boleh kita fahami. Tetapi bila di sebut ‘ikang makang kkucing’ ia bukanlah bermaksud ikan memakan kucing, kerana sabdu ‘k’ pada perkataan ‘kkucing’ itu menjelaskan ianya adalah ayat pasif yang bermaksud ikan dimakan oleh kucing.

Advertisement

Oleh kerana saya sengaja menggunakan tajuk dalam bahasa Terengganu, jadi saya menerangkan maksud kepada perkataan yang agak pelik ejaan itu, bagi memperkenalkan bahasa Terengganu. Walaupun begitu maksud kepada perkataan ‘bbuak’ pada tajuk di atas agak lain bukan seperti makna ‘kkucing’ di atas, tetapi iaitu bermaksud lebih kurang ‘buang tabiat’ atau ‘buat perangai’ dalam Bahasa Malaysia baku. Dan jangan bimbang, saya menulis dalam Bahasa Malaysia, anda akan faham.

Pada 27 Ogos lalu, Pengerusi Bersatu Terengganu, Dato’ Razali Idris telah membuat satu hantaran ke akaun FB beliau dengan ungkapan ‘menganjing’ iaitu mempermainkan semula isu-isu lama seperti maksud sekular, memisahkan agama dan politik. Beliau ingin mengaitkan berita dari Sinar mengatakan PAS sekarang sudah membenarkan politik suku, agama suku kerana Presiden PAS menasihatkan agar DZN menumpukan kepada kerja dakwah beliau sahaja, dan tidak ikut campur dengan pertikaian politik Malaysia. Beliau akan lebih selamat, biar PAS sahaja yang berpolitik di Malaysia ini.

Sebenarnya PAS sangat komited dan tidak pernah berganjak mengatakan bahawa politik tidak boleh dipisahkan dari agama. Dulu, kini dan hingga akhir dunia. Ia diketahui semua makhluk yang mempunyai otak di Malaysia ini. Apa yang dimaksudkan Presiden PAS ialah kerja-kerja Islam itu mesti dibahagi atas kepakaran masing-masing. Bukan semua benda mesti dicampurkan. Baharulah jelas dan kemas gerakan Islam.

Ada dua sebab DZN dinasihatkan begitu. Pertama beliau mahir dalam perbandingan agama, bukan bidang politik. Kedua, beliau berasal dari India dan tidak memahami selok belok keadaan di Malaysia. Ada pepatah Arab mengatakan, hanya orang Makkah mengetahui jalan-jalan di Makkah. Jadi bagi melawan musuh politik Islam di Malaysia, biarkan PAS atau mana-mana pihak yang layak melawannya. Dan DZN, kemudiaannya mendengar nasihat Presiden PAS itu, beliau diam. Begitulah orang alim yang cepat faham keperluan agama.

Ia berlainan dengan Dato’ Razali sendiri yang pada mulanya duduk di Dun Rhu Rendang melawan Presiden PAS ketika bersama Umno. Kemudian kononnya atas alasan melawan kleptokrasi dalam Umno, yang sebenarnya orang tahu beliau hampir terpinggir dari Umno Terengganu, beliau kemudian masuk Bersatu. Beliau memilih untuk menjadi ketua penaja Bersatu di Kuala Nerus, lari dari Marang. Jika kekal di Marang, beliau akan bertemu lagi dengan Presiden PAS. Maka lari adalah jalan terbaik, mungkin itu fikir beliau.

Setelah hampir dengan PRU, beliau lari lagi, macam si Forrest Gump, asyik lari saja kerjanya. Run Forrest, run. Walaupun YB Dr Khairuddin Attakiri hanya menang beberapa ratus undi sahaja pada PRU13 dahulu, tapi beliau tidak yakin. Kali ini untuk PRU14, beliau ke Hulu Terengganu dengan harapan kononnya sebahagian undi Umno boleh ditarik. Malang, beliau kalah kepada bekas Exco Umno, Dato’ Rosol Wahid, yang kemudiannya masuk Bersatu. Sememangnya Hulu sudah menjadi kubu Dato’ Rosol. Memayahkan lagi kerja beliau selepas ini.

Maka sekarang beliau kelihatan tiada kerusi Parlimen untuk bersandar. Tetapi alhamdulillah nasib beliau agak baik berbanding Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, yang tiada apa-apa, kerana Dato’ Razali diberikan jawatan Senator Dewan Negara. Tetapi Senator hanya maksima dua penggal, iaitu enam tahun sahaja. Itupun kalau PH masih menang atau beliau tiada lawan dalam Bersatu yang akan mengenepikan beliau. Tetapi ia hampir mustahil kerana sudah ada Dato’ Zulkifli Mohamad bekas pegawai kerajaan Terengganu selain Dato’ Rosol tadi.

Berbanding kecerdikan Dato’ Zul dan kekuatan akar umbi Dato’ Rosol, rasanya tidak sukar untuk diteka, siapa yang akan menjadi korban jika ‘dewata politik’ memerlukan ‘darah’. Jadi DZN sangat cerdik kerana mendengar nasihat Presiden PAS, biar orang setempat yang bermain politik, dan DZN teruskan kepakaran berdakwah, itu maksud sebenarnya, bukan memisahkan keduanya. Tidak seperti Dato’ Razali yang cuba menguasai politik bukan di tempat beliau, di Kuala Nerus dan Kuala Berang.

Biarlah duduk di tempat beliau, berlawan sama ada dengan MB Terengganu di Rhu Rendang atau berpencak dengan Presiden PAS di Marang. Jangan takut, sangat mulia kalah berjuang dari melarikan diri bagai buruan perang. Dan lebih mulia lagi jika yang dikalahkan itu MB Terengganu atau Presiden PAS, atau kedua-duanya sekali. Pasti Tun juga akan terkejut dengan ‘Giant Killer’ baharu ini. Atau jika jadi seperti DZN, melarikan diri ke kawasan orang, jangan libatkan diri dengan politik, senangkan?

Cuma saya cadangkan jika Dato’ diketepikan nanti, Dato’ boleh cuba nasib menjadi pengurus Tadika KEMAS sebab jika mahu menjadi guru KEMAS, mungkin Dato’ perlu menukar jantina dahulu, sesuatu yang bukan budaya Umno, Bersatu, DAP, apatah lagi PAS. Mungkin boleh dicungkil bakat-bakat baharu untuk mengarahkan lagi lakonan dalam kisah budak-budak tadika KEMAS dihalau. Saya percaya, Dato’ boleh pergi jauh dalam bidang mengarah.

Tapi saya sebenarnya amat kagum dengan Dato’ sebab bila Dato’ berkelahi dengan PAS, perangai nakal Dato’ didedahkan oleh orang Kampung Rhu Muda yang mengenali Dato’, tak kira PAS atau Umno. Dan apabila Dato’ cuba berbaik dengan PAS, Dato’ sendiri pula buka pekung Dato’ yang busuk itu. Sepatutnya tiada orang yang akan mengaku jika dia berak di tengah jalan. Jadi benarlah dakwaan saya yang Dato’ ‘bbuak pulok’, sebab dah banyak kali ‘bbuak’ sebelum ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
Bukit Payong, Marang
29 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 29/8/2019