PH Selangor tidak mampu pejuang isu agama

KUALA LANGAT: Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli membidas Kerajaan PH Selangor kerana tidak bersetuju untuk menerima usul mengenai Surau Jumaat yang mahu diangkat menjadi status Masjid.

Advertisement

Kekesalan itu dinyata beliau dalam wacana Table Talk 2.0 yang diadakan di Restoran Changkir di bawah Markaz PAS Batu 8, Sijangkang, di sini malam tadi.

Usul berkenaan dibawa oleh Adun Sijangkang yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Dr Ahmad Yunus Hairi semasa Sidang Dun Selangor, baru-baru ini.

“Apa yang ditunjukkan oleh Kerajaan PH Selangor tersebut jelas bahawa PH tidak mampu nak membawa suara Islam apatah memperjuangkannya,” bidasnya pada program anjuran Lajnah Penerangan dan Jabatan Media Baru Pemuda PAS Selangor ini.

Beliau menjelaskan, usul dibawa itu tidaklah menggugat pengaruh PH, namun sebaliknya menjadi malu buat EXCO Agama yang dipegang Menteri Besar di mana seakan tiada kuasa terhadapnya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana, sekalipun PH memenangi 50 kerusi Dun Selangor, namun tidak mampu melonjakkan isu dan kepentingan agama dengan lebih baik dalam tempoh pentadbiran pasca PRU14.

“Kita (PAS) walau hanya 1 kerusi sahaja dan rakan kita dari Umno sebanyak 5 kerusi, namun dalam isu yang melibatkan kepentingan agama kita akan bangkit dan bersuara. Isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W kita bersama-sama buat bantahan dengan membuat laporan polis ke atas pelaku.

“Begitu juga isu-isu lain kita akan berjumpa dengan mana-mana pihak yang terlibat. Ini menunjukkan suara kita dan keinginan kita dalam bersuara. Berbeza dengan pimpinan Melayu Islam di dalam PH yang tiada suara dan tiada keinginan ingin bersuara,” bidas beliau.

Ustaz Hanafi juga kesal kerana isu membabitkan enakmen ingin dibawa oleh Menteri Besar dalam sidang Dun itu turut tidak dapat dilakukan apabila persidangan dipendekkan masa berbahas kemudian ditangguhkan.

“Di mana kekuatan pemimpin PH yang beragama Islam namun suara sendiri tersekat dalam Kerajaan PH ini?” soal beliau.

Beliau juga menjelaskan, dalam isu semasa di Selangor, beberapa kenyataan peringkat Pemuda PAS Selangor telah pun dikeluarkan sebagai reaksi terhadap isu semasa yang berlaku.

Antaranya seperti projek pembinaan jejambat di SKVE Tol Saujana Putra yang masih belum beroperasi sejak April 2019 lalu, skim-skim kebajikan rakyat yang semakin terhad dan ada tidak diteruskan serta banyak lagi.

Beliau amat mengharapkan kenyataan itu dapat disebarkan kepada masyarakat umum agar perkara ini diketahui memandangkan isu sebegini seakan tiada dalam media yang melaporkannya.

“Rakyat perlu tahu apa isu yang berlaku agar rakyat dapat menilai hakikat sebenar bahawa Kerajaan PH Selangor gagal dan lemah dalam urus tadbir negeri,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 29/8/2019