Piagam PAS-Umno demi kestabilan, masa depan

KUALA LUMPUR: PAS menyangkal dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengatakan piagam PAS dan Umno sekadar untuk kepentingan politik semata bukan kerana aspirasi rakyat.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa piagam itu lebih besar daripada kerangka politik pilihan raya semata, bahkan meliputi kestabilan negara dan masa depan Malaysia yang lebih stabil.
 
“Dia (Wan Azizah) sendiri belum tengok lagi piagam itu, apa isi piagam yang kita akan tandatangani.
 
“Jadi, mungkin beliau melihat piagam ini hanya dalam konteks politik sahaja, sebenarnya piagam ini lebih besar daripada kerangka politik pilihan raya,” katanya kepada Harakahdaily.
 
Jelasnya, teras utama dalam piagam itu adalah penyatuan ummah Melayu dan Islam dan agenda politik kepartian serta sentimen sempit bukan menjadi keutamaan dalam piagam itu.
 
Menurutnya, keutamaan sekarang ini adalah menyatukan bangsa Melayu Islam tanpa meminggirkan mana-mana kaum demi untuk kestabilan dan masa depan negara yang lebih baik.
 
Sementara itu, beliau mengatakan kenyataan Wan Azizah itu hanya cubaan untuk mewujudkan ketakutan dalam kalangan masyarakat terhadap piagam PAS dan Umno itu. – HARAKAHDAILY 30/8/2019
Advertisement