Kibar Jalur Gemilang sanggah provokasi bendera

KUALA KANGSAR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar mengutuk keras pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan provokasi bagi memecahbelah serta mencetuskan perbalahan antara kaum serta agama.

Advertisement

Malah, Pemuda PAS juga menggesa kerajaan mengambil tindakan kepada pihak yang cuba merosakkan keharmonian secara halus dengan menterbalikkan bendera dan mewarnakannya hitam putih.

“Perkara ini menjadi persoalan, kenapa ianya terjadi ketika pentadbiran kerajaan hari ini yang baru mentadbir setahun lebih. Kita boleh lihat hari ini, kebiadaban pihak-pihak tertentu yang menghina Institusi Diraja.

“Malah ada yang menghina Rasulullah dan agama Islam. Masih tidak nampak ketegasan kerajaan hari ini dalam menangani isu yang besar ini,” bidas Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam.

Menyentuh sikap perkauman seperti dizahirkan Menteri Perpaduan, Waythamoorty Ponnusamy, beliau mengajak kepada rakyat menilai sendiri sejauh mana seriusnya sikap dan prestasi kerajaan hari ini.

Beliau ditemui dalam Sambutan Kemerdekaan: Kempen Kibarkan Jalur Gemilang oleh murid PASTI yang melibatkan lapan Cawangan PASTI serta guru dan Pemuda PAS di Dataran Lembah, di sini kelmarin.

Program ini bertujuan untuk menanamkan rasa kecintaan kepada negara disamping memupuk semangat bakal pejuang ataupun mata rantai PAS ini yang juga bakal memimpin negara suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 31/8/2019

IMG 20190831 WA0024

IMG 20190831 WA0025