Muslimat hayati ibrah merdeka Pemuda al-Kahfi

HULU LANGAT: Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat telah mengadakan acara Quran Hour melibatkan 153 peserta yang bertadarus dan mentadabbur surah al-Kahfi sebagai satu bentuk sambutan kemerdekaan tahun ini.

Advertisement

Ianya diadakan serentak di tiga lokasi iaitu Kompleks Tarbiah Darul Hidayah, Surau Fateh Bandar Tasik Kesuma, dan Surau Muhibbah, Taman Muhibbah, di sini jam 10 pagi semalam.

“Sambutan kemerdekaan negara perlu diisikan dengan program-program keagamaan seperti program Malaysia Quran Hour ini. Bertadarus dan bertadabbur membantu untuk menambahkan penghayatan agama sekali gus akan memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan orang Islam.

“Justeru itu, program seumpama ini perlu diperluaskan lagi penganjurannya ke jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta, pasaraya dan sebagainya di seluruh negara,” kata Pengarah Program, Norul Huda Bakar.

Sempena Kemerdekaan Malaysia Ke-62 serta berdasarkan panduan dan pengajaran daripada surah Al-Kahfi, Quran Hour Malaysia yang berlangsung ini bersetuju menerima lima resolusi.

Pertama, sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah dan menjadikan Al Quran sebagai panduan dalam mengisi ruang kemerdekaan terutamanya dalam usaha pembinaan individu, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.

Kedua, istiqamah berjuang untuk memerdekakan diri daripada sebarang bentuk kesyirikan kepada Allah dengan mengukuhkan akidah Islam yang tulen dan membebaskan diri daripada belenggu godaan nikmat duniawi seperti ketamakan harta kekayaan, takabbur dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan penyelewengan kuasa dan pangkat.

Ketiga, membentuk dan memperbetulkan minda merdeka dengan ilmu dan sejarah kemerdekaan yang sebenar agar dapat membebaskan akal daripada dijajah dan dipengaruhi oleh pelbagai ideologi yang sesat.

Keempat, mengamalkan akhlak Al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam kehidupan harian agar generasi pasca merdeka menjadi ummah contoh yang disegani seterusnya mempamerkan keindahan Islam.

Kelima, memperbanyakkan infak harta ke arah usaha menegakkan Syariat Islam dan membangunkan ummah sebagai tanda kemerdekaan jiwa daripada belenggu harta benda dan memastikan harta kekayaan yang dimiliki memberi manfaat yang berpanjangan. – HARAKAHDAILY 31/8/2019

IMG 20190831 WA0034

IMG 20190831 WA0033