Naikkan Jalur Gemilang bersama bendera PAS

GOMBAK: Pemuda PAS Kawasan Gombak telah melangsungkan upacara menaikkan dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 bertempat di Pusat Tarbiyah Dun Hulu Kelang, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Majlis penyerahan bendera kebangsaan negara ini bermula dengan Usrah Gabungan yang dipimpin oleh Naib Yang DiPertua PAS Gombak, Ustaz Kamalul Hysham Mohd Suhut.

Upacara penyerahan Jalur Gemilang ini sebagai meniupkan semangat juang patriotisme khususnya kepada anak muda di dalam PAS serta menghayati perjuangan generasi terdahulu.

Ianya juga sebagai menghargai perjuangan telah dilakukan oleh pejuang-pejuang tanah air seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato’ Bahaman dan ramai lagi.

Selain itu, Ustaz Kamalul Hysham mengingatkan agar para pejuang PAS sentiasa membersihkan hati, menghayati perjuangan jihad para Sahabat R.A terutama kisah Mus’ab Bin Umair.

Katanya, pemuda tampan itu rela berkorban meninggalkan segala kemasyhuran dan kekayaan sewaktu zaman jahilliyah Makkah untuk berjuang meninggikan Islam sehingga terkorban.

Ketua Pemuda PAS Dun Hulu Kelang, Abdul Basith Abdul Halim pula mengharapkan semua anak muda menghayati kembali sejarah dengan semangat agar cinta kepada tanah air terus subur.

Gimik serahan Jalur Gemilang diteruskan dengan memasang kibaran bendera ini bersama-sama bendera PAS di sekitar Dun Hulu Kelang dan amnya di Parlimen Gombak. – HARAKAHDAILY 31/8/2019

IMG 20190831 WA0039