PAS Puchong tekad merdekakan Selangor dari PH

PUCHONG: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyeru ahli-ahli PAS menyedari senario politik semasa yang banyak memberi ancaman kepada umat Melayu Islam.

Advertisement

Di mana peringatnya, ia menuntut untuk ahli PAS merealisasikan tema “Islam Memimpin Perpaduan” dengan gerak kerja yang akan memelihara kepentingan semua bangsa dan agama di negara ini.

Perkara itu diutarakan beliau pada program Ceramah Penerangan Isu-isu Semasa di Dewan Pangsapuri PKNS Serdang Jaya, Seri Kembangan, di sini kelmarin.

Beliau turut mengingatkan agar gerak kerja seperti ceramah kelompok dan ziarah MOSWA tidak terhad dilakukan ketika pilihan raya sahaja, sebaliknya mesti secara berterusan.

Selain itu katanya, petugas-petugas PAS mesti sentiasa ke hadapan dalam menangani hal ehwal masyarakat dan menjalankan program-program secara konsisten dan berterusan.

Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang turut meluangkan masa bersama hadirin dengan sesi soal jawab terutama dalam menghurai masa depan PAS Selangor untuk melalui ta’awun bersama Umno.

Program tersebut turut diceria dan dimeriahkan dengan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang  bersama ucapan Selamat Menyambut Kemerdekaan Kali Ke-62 bersama hadirin.

Hadir sama adalah Yang DiPertua PAS Puchong, Ustaz Dr Muhammad Zuhaili Saiman dan Ketua Muslimat PAS Puchong, Zaihan Ismail.  – HARAKAHDAILY 31/8/2019