Muslimat PAS imarah Malaysia Quran Hour

KUALA LUMPUR: Bersempena Kempen Quran Hour 2019 pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari 30 Ogos lalu, Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengarahkan pelaksanaan program Malaysia Quran Hour serentak di negeri-negeri seluruh Malaysia. 
 
Bagi menjayakan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera, program Malaysia Quran Hour kali ini telah diadakan antara Muslimat PAS dan masyarakat setempat, selain turut serta dalam program tersebut beberapa NGO dan juga Wanita Umno tempatan.
 
Pengarah Program Malaysia Quran Hour Muslimat PAS Malaysia, Dr Mardhiyah Hayati Salleh berharap program interaksi dengan al-Quran melalui Tadabbur dan Tazakkur Quran Hour akan dapat menyemarakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kehidupan.
 
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Malaysia menyentuh peranan al-Quran diturunkan sebagai hidayah menyatukan hati masyarakat dari pelbagai latar belakang politik dan fahaman serta menawarkan penyelesaian kepada permasalahan umat Islam yang kian tersepit pada ketika ini.
 
Di WILAYAH PERSEKUTUAN, program Malaysia Quran Hour telah dijalankan di surau Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad yang dihadiri oleh Ketua Muslimat Kawasan Batu merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Salbiah Abd Wahab.
 
Sementara di KEDAH, program dikendalikan Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kedah, Ustazah Dr Zarleena Zakariyya, yang turut menyampaikan tadabbur al-Kahfi di Madrasah Zubaidydiyah Merbok Kedah manakala di MELAKA pula, Malaysia Quran Hour telah dijalankan bertempat di Surau Tuan Guru Haji Husin, Merlimau.
 
Semua kawasan di negeri PAHANG dan di PERAK telah menjalankan program Quran Hour di peringkat Muslimat PAS Kawasan, sementara di PERLIS, Muslimat PAS Perlis menjalankan Malaysia Quran Hour melalui program naqibat teras.
 
Sambutan Malaysia Quran Hour Lajnah Dakwah Muslimat PAS tahun ini adalah istimewa kerana turut diserikan dengan penghayatan Pesan Kemerdekaan Dari Surah Al-Kahfi serta diakhiri dengan bacaan doa serta pernyataan Resolusi Kemerdekaan Malaysia Quran Hour. – HARAKAHDAILY 1/9/2019
IMG 20190902 WA0002
Advertisement