Ameerah Mengupas isu keganasan rumah tangga

PERMATANG PAUH: Ameerah Kawasan Permatang Pauh telah meneruskan kelangsungan program Ameerah Mengupas di mana kali ini membawakan tajuk “Rencah Rumah Tangga” di Dewan Seminar 1, Masjid Seberang Jaya, di sini kelmarin.

Advertisement

Turut hadir Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad serta Timbalan Pengarah Ameerah Negeri Pulau Pinang, Nabihah Fauzi untuk slot pengenalan Ameerah Malaysia kepada peserta.

Objektif program ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutamanya kepada wanita muda supaya lebih cakna seputar perihal dan isu-isu hangat rumah tangga.

Forum ini dikupas oleh dua orang panel iaitu Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Ustaz Husni Zaim Mohd Said dan Johan Dai’ Musim Ketiga, Ustazah Hamidah Abdul Razak.

Forum dikendalikan Moderator, Musfirah Mokhtar yang juga merupakan Ketua Ameerah Permatang Pauh ini menyentuh isu keganasan dalam rumah tangga dan hak isteri tertindas.

“Orang setempat yang melihat berlakunya keganasan dalam rumah tangga boleh melaporkan terus kepada pihak Mahkamah Syariah untuk diambil tindakan yang sewajarnya,” ulas Ustaz Husni Zaim.

Dai Hamidah pula menegaskan, hal rumah tangga tidak perlu dicerita atau dikongsi dengan orang luar yang mana ia boleh menyumbang kepada musibah lebih besar sebaliknya mesti diselesai dengan perbincangan.

Majlis turut diserikan dengan alunan merdu Qasidah daripada barisan pelajar Darul Hadis, selain cabutan bertuah kepada peserta. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

IMG 20190902 WA0075