Derap langkah AMAL di perarakan Merdeka Pahang

KUANTAN: Buat julung kalinya, Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Pahang telah menyertai perarakan sempena Hari Kebangsaan Ke-62 di Jalan Mahkota, di sini kelmarin. 

Advertisement

Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perarakan anjuran Kerajaan Negeri Pahang ini disertai lebih 40 kontinjen mewakili badan beruniform, institusi pendidikan, NGO dan veteran tentera yang telah berjuang menentang penjajah.

Gagah berkawad pada perbarisan penuh disiplin ini adalah 55 anggota dan pegawai dengan turut sama disertai Timbalan Pengarah AMAL Pahang, Halmi Ismail.

Ujar beliau, penyertaan kali ini menunjukkan masyarakat mula menerima Jabatan Amal Malaysia sebagai sebuah badan kebajikan sukarela yang membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar diberi penghormatan untuk memberikan tabik hormat ketika kontinjen Jabatan Amal melintas di hadapan khemah DiRaja.

Dalam perarakan tersebut, aset-aset milik Jabatan Amal Malaysia turut dibawa bersama dan sekali gus mengagumkan pengunjung-pengunjung perarakan tersebut. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

IMG 20190902 WA0032