Kempen beli produk Muslim tuntutan al-Quran

KUANTAN: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud menyifatkan kempen kesedaran mengutamakan barangan keluaran Muslim adalah selari dengan ajaran Islam.

Advertisement

Menurutnya, ia juga bertepatan dengan seruan al-Quran pada ayat 168 surah al-Baqarah di mana menyeru sekalian manusia memakan segala di bumi yang halal dan tidak mengikut jejak langkah syaitan.

Katanya, setiap Muslim sewajarnya berusaha mencari sumber makanan halal dan memastikan ia datang dengan pakej toyyiban iaitu makanan yang baik, bersih dan berkualiti.

“Penghasilan sesuatu produk makanan khususnya adalah merangkumi proses-proses yang bermula daripada peringkat pemilihan sumber dan penyediaan bahan, proses pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehingga produk tersebut dipasarkan kepada pengguna,” ujarnya.

Adun Damak itu juga menjelaskan, sekiranya terdapat keraguan dalam proses tersebut itulah disebut sebagai Syubhah, yang perlu Muslim hindari kerana makanan akan menjadi darah daging.

Jelas beliau, memilih sumber makanan yang halal dan bersih akan dapat menambah cahaya iman dan membuatkan doa termakbul serta diterima ibadah, namun kesan mengambil yang haram adalah sebaliknya.

Menurutnya lagi, barangan muslim kini sudah banyak berada di pasaran bukan sekadar produk makanan, bahkan juga produk kecantikan, pembinaan, pertanian, kesihatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Tinggal hanya kita untuk membuat pilihan yang bijak. Pada kesempatan ini saya menyeru kepada saudara semua untuk menyahut kempen membeli barangan Muslim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2019