Malaysia Quran Hour bergema di Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Sempena Program Malaysia Quran Hour 2019, Dewan Muslimat Kawasan Hulu Selangor telah menganjurkan tadarus dan tadabbur surah al-Kahfi bertempat di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini dihadiri oleh 32 anggota Muslimat PAS dari seluruh PAS Cawangan dalam Kawasan Hulu Selangor yang dimulai seawal 7 pagi dengan senaman ringan dan aktiviti regangan.

Diikuti majlis utama yang dilaksanakan secara pembahagian halaqah dengan tadarus bacaan surah al-Kahfi dialunkan secara berjemaah.

Naib Ketua Muslimat PAS Hulu Selangor, Ustazah Aminah Mohd Noor kemudiannya mengupas pengajaran dan pengertian surah al-Kahfi yang menjadi renungan bermakna kepada peserta.

Majlis juga mengadakan pembentangan resolusi dari ibrah surah ini untuk menjadi tindakan bersama ahli-ahli Muslimat Hulu Selangor khususnya dalam gerak kerja perjuangan dan kehidupan seharian.

Kata Ustazah Aminah, menjadi harapan Muslimat PAS Hulu Selangor agar majlis tadarus dan tadabbur seperti ini sentiasa mekar dan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu usaha memperkasa dan memuliakan al-Quran dalam kalangan ahli. – HARAKAHDAILY 2/9/2019