Penyatuan ummah satu keperluan hari ni

KANGAR: Suasana hari ni sememangnya memerlukan seluruh umat Islam untuk bersatu dan tanggungjawab itu telah disuruh oleh Allah sejak 1,400 tahun lalu lagi yang telah tertulis di dalam Al-Quran.

Advertisement

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Salleh berkata biar apapun telahan itu adalah urusan masing-masing kerana ia di luar kuasa sebagai manusia.

“Dalam suasana yang ada ini memang sangat memerlukan penyatuan umat Islam. Tanggungjawab ini telah lama Allah turunkan kepada kita.

“Asbab kepada kejatuhan Umno pada pilihan raya yang lalu, penyatuan ini menjadi lebih mudah untuk kita bersatu.

“Peluang ini tidak akan dilepaskan, yang penting perkara ini adalah satu amanah sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi Allah.

“Membujur lalu melintang patah, kita akan redah kerana Allah. Biar apapun telahan yang diterima, kita terima ia sebagai satu cabaran hidup di dunia ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke rumah mangsa ribut di Dun Guar Sanji anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK DMPM) dan Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (LKK DMPNPs). (Foto atas)

Turut hadir Ketua DMPNPs; Ustazah Latifah Mat, Ketua LKKDMPNPs, Jaliah Zakhir beserta ahli jawatankuasa DMPNPs.

Sebanyak lima buah rumah telah dilawati seterusnya rombongan ke Kedah dan Pulau Pinang dalam siri melawat mangsa ribut di Zon Utara hari ini. – HARAKAHDAILY 2/9/2019