Warga Batu Gajah ceriakan 10K Langkah Merdeka

BATU GAJAH: Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Gajah dengan kerjasama Pergerakan Wanita dan Puteri Umno Bahagian Batu Gajah telah menganjurkan program 10,000 Langkah Merdeka di Taman Awam Changkat, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini bertujuan untuk menghimpunkan para wanita, remaja dan kanak-kanak sekitar untuk bersuai kenal dan menjalani aktiviti sihat dengan bersenam dan berjalan kaki sejauh 1.3 kilometer mengelilingi taman awam dan bangunan kerajaan.

Dengan tema Muslimah Merdeka, peserta yang hadir mengenakan pakaian dan hiasan berwarna-warni sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu patriotisme, selain membawa sepanduk tulisan Jawi.

Program ini bermula jam 7.30 pagi dengan acara senaman dan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Usman Awang, Ketua Pemuda PAS Batu Gajah, Ustaz Usman Awang, sebelum perarakan 10,000 Langkah Merdeka

Turut diadakan pada program dihadiri sekitar 100 peserta ini adalah amuan makan secara ‘potluck’ dan diteruskan dengan acara taaruf dan Temubual Open Mike bertajuk “Erti Kemerdekaan”.

Program diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Muslimat PAS Batu Gajah, Baini Mohd dan Ketua Wanita Umno Batu Gajah, Mazlina Musa serta Ketua Puteri Umno Batu Gajah, Nor Fazila Saaidun Razali.

Ucapan penutup yang disampaikan oleh Yang DiPertua PAS Batu Gajah, Ismail Ariffin yang menyeru hadirin membebaskan diri dari belenggu penjajahan ketenteraan, pemikiran, budaya serta tamadun jahiliyah dan sebaliknya bersujud kepada keagungan Allah S.W.T.

“Negara yang merdeka adalah negara yang berhukum kepada hukum Allah dalam semua aspek kehidupan. Merdeka tidak sekadar dikira daripada pembangunan fizikal atau jumlah bangunan yang terdapat di negara ini.

“Apa makna merdeka jika negara dibanjiri rasuah, penipuan, salah laku penyelewengan, pembaziran, hak bersuara tersekat, fitnah berleluasa, orang miskin menjadi ratahan kepada yang kaya,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar sama-sama membina negara dengan melakukan perubahan dan islah bagi melengkapkan pengisian kemerdekaan yang hakiki menurut Islam.

Program diakhiri dengan aktiviti Kempen Menjaga Alam Sekitar dengan aktiviti mengutip sampah beramai-ramai membersihkan Taman Awam Changkat. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

IMG 20190902 WA0083

IMG 20190902 WA0082

IMG 20190902 WA0081