Manfaatkan kempen ‘Beli Produk Muslim Dulu’

mumtaz1

KUALA LUMPUR: Lajnah Pengguna dan Pekerja Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPP DMPM) menyambut baik saranan positif parti itu terhadap kempen ‘Beli Produk Muslim Dulu’.

Advertisement

“Kempen sebegini tidaklah asing bagi muslim kerana sudah terdapat petunjuk-petunjuk sirah yang dijadikan teladan,” kata Timbalan Pengerusi LPP DMPM, Mumtaz Md Nawi dalam satu kenyataan.

Beliau mengambil contoh Sayyidina Uthman r.a. yang membeli telaga di Madinah yang pada mulanya milik seorang Yahudi yang telah memeras harga yang tinggi kepada pengguna.

Katanya, dengan berstrategi, Sayyidina Uthman r.a. membeli separuh daripada telaga tersebut.

“Pada akhirnya, hasil daripada sokongan komuniti muslim ketika itu, beliau dapat membeli telaga tersebut sepenuhnya dan digunakan oleh kaum muslimin dengan kadar yang sangat berpatutan,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Justeru, katanya LPP DMPM melihat kempen itu adalah salah satu usaha efektif dan semasa malah merupakan satu jihad ekonomi bagi membangunkan ekonomi ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.

Tambahnya, ahli-ahli dan penyokong PAS sebahagian besarnya adalah penggiat ekonomi yang terlibat dalam perniagaan produk dan khidmat.

“Kini tibalah masanya kita memanfaatkan muamalah ekonomi ini secara sistematik dan menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah, setiap kawasan mempunyai lajnah ekonomi sendiri yang berupaya merancakkan sumber kewangan dan keperluan asasi dari sudut pembuatan dan pembekalan produk halal dan baik dalam masyarakat.

“Semoga kempen ini bakal disokong oleh semua Dewan Muslimat di seluruh negara dalam mengembangkan lagi perusahaan-perusahaan mikro sekali gus memberikan impak yang positif terhadap rantaian ekonomi makro dalam menjana pertumbuhan negara yang lebih mapan dan terus kekal berdaya tahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2019