Utamakan produk Muslim: Kegusaran tiada asas

KEMPEN mengutamakan pembelian produk keluaran Muslim adalah satu usaha yang baik. Ianya hanya bertujuan mengutamakan produk keluaran Muslim yang mana, Muslim di Malaysia adalah golongan majoriti. Kempen ini tiada unsur memboikot produk keluaran bukan Muslim. Ianya sebagai cadangan pilihan yang mana dahulu digalakkan beli.
 
Kempen ini juga akan turut menjana pendapatan yang lebih kepada orang Islam kerana kebanyakan produk orang Islam, kurang diberikan perhatian, sedang dalam masa yang sama, ianya juga tidak kurang kualitinya. Ini sekaligus membuka peluang persaingan lebih luas dan sihat dalam menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada pelanggan.
 
Lebih dari itu, produk keluaran Muslim juga lebih dipercayai akan status halalnya berbanding dengan produk yang dihasilkan oleh bukan Islam. Banyak ketidak fahaman bukan Islam dalam mengendalikan makanan halal terutama jika yang tidak mempunyai sijil halal. Tidak dinafikan, sijil halal ini sangat penting sehinggakan orang bukan Islam juga berlumba-lumba mendapatkannya kerana pasaran halal yang sangat besar di Malaysia. Dan tentunya orang Islam lebih maklum dengan kehendak produk halal itu sendiri kerana pendedahan mengikut suruhan agama.
 
Lebih dua pertiga muslim di Malaysia iaitu kira-kira 20 juta orang, adalah sasaran kepada pasaran, menunjukkan bahawa pasaran ini sangat luas. Jadi mengapa harus disempitkan dengan label-label yang tidak sepatutnya seperti kempen ini berunsur perkauman atau sebagainya. Bukan Islam tidak perlu takut melihat persaingan ini, apatah lagi sudah puluhan tahun produk mereka berada di pasaran.
 
Sikap tamak sebegini, tidak harus ada dalam semangat Malaysia kerana Malaysia mengamalkan demokrasi iaitu kebebasan memilih apa yang difikirkan baik oleh rakyat, yang mengikut undang-undang negara. Ia tiada dalam senarai kesalahan dalam undang-undang negara ini apabila kita menggunakan hak kita bagi memilih barangan apa dan di manakah hendak kita beli.
 
Sikap kebudak-budakkan sesetengah pimpinan negara yang bukan Islam, seperti mengugut rakyat untuk menghentikan kempen ini, hanya kelihatan seperti orang yang tiada fikiran yang waras. Ekonomi akan terus berkembang baik, jika kerajaan menjalankan kerja mereka dengan penuh dedikasi. Ekonomi tidak akan hancur hanya kerana rakyat memilih mahu membeli dari kedai mana dan produk siapa. Oleh itu kegusaran sesetengah pihak dengan kempen ini, sangat tidak berasas
 
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
4 September 2019 – HARAKAHDAILY 4/9/2019
Advertisement