PAS Perak ziarah keluarga Almarhum Mejar Zahir

TAMBUN: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merakamkan takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir Armaya yang disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pagi semalam.

Advertisement

Almarhum merupakan komando 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) dilaporkan terkena tembakan semasa demonstrasi sempena penubuhan Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri di Kem Lok Kawi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria bersama pimpinan PAS Perak berkunjung menziarahi keluarga Almarhum di Taman Perpaduan, di sini malam tadi.

Beliau menyifatkan bahawa pemergian Almarhum ketika sedang bertugas wajar digelar wira negara apatah lagi difahamkan Almarhum seorang pegawai komando yang disegani dan diiktiraf kepakarannya.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri yang juga anak bekas Komando Polis berkata, kehilangan Almarhum pasti sangat dirasai pasukannya dan berharap ahli keluarganya juga tabah dengan takdir ini.

Rombongan hadir bersama Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said yang turut memimpin bacaan doa tahlil ringkas bersama orang ramai dan mendoakan roh Almarhum dicucuri rahmat Allah.

Jenazah Almarhum yang dijangka tiba di sini sebelum Subuh tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun pagi ini. – HARAKAHDAILY 5/9/2019

IMG 20190905 WA0009