Tubuh RCI siasat skandal kemiskinan Malaysia

MINGGU lepas, pelapor khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston, mengumumkan bahawa Malaysia telah memalsukan ukuran kemiskinan dan kadar kemiskinannya lebih tinggi berbanding laporan rasmi. Di sebalik kadar kemiskinan rasmi 0.4 peratus, kadar kemiskinan sebenar Malaysia adalah dianggarkan 15 peratus. Ia bermaksud bahawa dasar kerajaan yang lepas tidak berkesan dalam menyampaikan hasil pembangunan. Tetapi disebabkan kita tertipu dengan kejayaan kita sendiri, kita terus melaksanakan dasar sama yang gagal. Ini merupakan satu skandal yang amat besar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

Advertisement

MOHIDEEN ABDUL KADERPersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik penemuan ini memandangkan ia menyokong beberapa isu yang banyak kali dikemukakan oleh kami iaitu kerajaan telah hilang pandangan terhadap penduduk miskin dan terjejas dan melaksanakan projek pembangunan yang bukan hanya gagal untuk mencapai golongan miskin tetapi mendorong kumpulan yang terjejas ke arah lebih miskin. Projek tebus guna mega seperti Forest City di Johor dan Tebus Guna Selatan Pulau Pinang merupakan contoh projek pembangunan yang secara negatif memberikan kesan kepada komuniti pantai yang mudah terjejas dengan risiko menekan mereka ke arah lebih miskin.

Penemuan utama oleh PBB ini ialah kegagalan institusi kerajaan untuk mengembangkan dasar yang lebih jujur, telus dan berkesan bagi menangani isu mengurangkan kemiskinan dan pembangunan inklusif dalam membuat dasar kerajaan. Melainkan kita memperbetulkan masalah ini, kita tidak akan mencapai visi Kemakmuran Bersama sepertimana yang digariskan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.

Kini wujud pelbagai alat pengukuran kemiskinan untuk membantu golongan miskin yang layak dalam membuat dasar kerajaan. Kaedah inovatif dimajukan untuk memastikan suara golongan miskin didengari seperti Pemerhatian Sosial Bank Dunia atau Indek Kemiskinan Multidimensi (MPI) oleh Universiti Oxford. Semua alat ini sedia untuk digunakan bagi membuat dasar awam yang berkesan serta digunakan dengan cekap oleh institusi dengan cekap dan penuh komitmen. Malangnya kerajaan terus buta kepada perkembangan ini manakala ia terus mengekalkan inisiatif pembangunan yang gagal, mewujudkan lebih banyak kemiskinan, pengangguran dan kesengsaraan.

Menurut penasihat ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid, data rasmi menunjukkan negeri seperti Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, 0 peratus kemiskinan. Seseorang itu hanya perlu melihat kepada peningkatan bilangan kanak-kanak tidak berumah dan barisan panjang yang beratur untuk mendapatkan makanan di tengah Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu atau Johor Bahru untuk mengetahui kadar kemiskinan rasmi yang tidak terlalu rendah. Melainkan, sudah tentu pegawai kita menutup mata kepada apa yang berlaku di lapangan dan memekakkan telinga kepada kesengsaran golongan miskin.

Apa yang kita perlu ialah mengakui bahawa institusi kita gagal dan perlukan pembaharuan segera. Tetapi sebelum kita melakukan pembaharuan, sama seperti seorang yang menghadapi masalah alkohol, kita perlu terlebih dulu mengakui masalah kita.

Memandangkan betapa mendesaknya isu ini kerana ia memberikan kesan kepada cara belanjawan kerajaan dalam peruntukan dan menggubal dasar, dengan kesan serius kepada golongan miskin di lapangan, CAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal ini dengan tiga objektif utama:

1. Membentuk gambaran yang tepat berhubung kemiskinan di Malaysia.

2. Mengenal pasti kelemahan institusi dalam membangunkan pembangunan berkesan dan dasar mengurangkan kemiskinan.

3. Menyarankan pembaharuan segera sistem penyampaian kerajaan untuk memastikan bahawa ia memberikan tumpuan kepada kemiskinan, dengan disokong oleh rangka kerja pentadbiran tempatan yang kukuh dan konsisten dengan visi kerajaan untuk Kemakmuran Bersama. – HARAKAHDAILY 4/9/2019

Penulis ialah Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.