6 bulan berlalu menteri belum jawab surat

KOTA BHARU: Setelah hampir enam bulan berlalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani belum lagi menjawab surat cadangan pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Kada.

Advertisement

Sebelum ini kerajaan Kelantan menghantar surat menyenaraikan tiga nama sebagai cadangan ahli lembaga, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Akta Kada 1972 memberi kuasa kepada menteri melantik ahli Lembaga Kada.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sejak surat itu dihantar belum ada sebarang jawapan sehingga sekarang.

Katanya, pada mesyuarat Exco sebelum ini diputus tiga nama diangkat kepada kementerian berkaitan untuk dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Kada.

“Namun sehingga sekarang belum ada sebarang jawapan daripada kementerian. Kita masih menunggu reaksi menteri selepas mengambil kira kenyataannya mahu melantik wakil kerajaan negeri sebelum ini,” katanya di sini.

Pada April lepas Pengerusi Kada Senator Dato’ Husam Musa dilapor berkata pihaknya bersetuju menerima cadangan kerajaan pusat untuk meletakkan seorang wakil kerajaan negeri dalam agensi terbabit.

Menurutnya idea melantik wakil kerajaan negeri dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Salahuddin Ayub. – HARAKAHDAILY 5/9/2019