Cerminan isu Kashmir

SESUNGGUHNYA penjajah British terkenal dengan konspirasi dan perancangan jahatnya. Ia tidak tinggalkan tanah jajahannya melainkan dengan perancangan yang penuh dengan tipu daya, meninggalkan isu-isu rumit agar ia tetap mendapat laba selepas keluar dari tanah jajahannya dan sentiasa mengambil segala peluang yang ada demi kepentingan politik, ekonomi dan ketenteraannya.

Advertisement

Mereka juga akan memasang perangkap dengan mewujudkan situasi huru-hara yang penuh kesukaran demi menjayakan agenda penjajahannya bersama organisasi-organisasi yang terdapat di dalam dan luar negara umat Islam.

Negara-negara Islam merupakan sasaran utama kerana kesan daripada kedengkian salibiah mereka, ketamakan terhadap ekonomi dan politik penjajahan. Semua ini kerana kedudukan negara Islam yang strategik dalam peta dunia dan kekayaan hasil buminya.

Di antara perancangan jahat penjajah selepas memberi kemerdekaan adalah meletakkan bekas tanah jajahannya di bawah Pertubuhan Komanwel dan terikat dengan perjanjian tertentu selepas mereka keluar darinya, membina kem-kem tentera serta meletakkan syarikat-syarikat perniagaan untuk memastikan kelangsungan kepentingan penjajahan.

Selain itu, ditinggalkan isu perebutan sempadan yang tidak selesai, mengapi-apikan kepelbagaian mazhab dan agama penduduk, menubuhkan kumpulan perkauman yang pelbagai dan isu-isu lain yang rumit yang tidak selesai melainkan selepas berlaku konflik dan peperangan seperti isu Palestin, Kashmir, Myanmar dan sebagainya.

Kashmir Dalam Catatan – Isu Perbalahan Pakistan Dan India

Isu Kashmir bermula apabila Parlimen British mengeluarkan undang-undang Kemerdekaan India pada 17 Julai 1947 yang menamatkan pemerintahan British.

Selepas sebulan dikeluarkan pula ketetapan pembahagian Benua India. Maka lahirlah isu Kashmir sebagai simpulan di antara dua negara iaitu India dan Pakistan yang terbentuk selepas British keluar daripadanya.

Sepertimana yang kita maklum, ketetapan pembahagian tersebut bahawa wilayah yang mempunyai majoriti Muslim akan bergabung dengan Pakistan. Manakala wilayah yang majoriti Hindu akan bergabung dengan India berdasarkan suara rakyat yang berpaksikan sistem demokrasi, hak dan kebebasan serta mengambil kira kedudukan geografi setiap wilayah.

Ketetapan ini berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan pada setiap wilayah kecuali tiga sahaja iaitu Hyderabad, Junagadh dan Kashmir.

Pemerintah Muslim wilayah Junagadh mengambil keputusan untuk bergabung dengan Pakistan walaupun majoriti penduduknya adalah Hindu. Maka keputusan ini berhadapan penentangan daripada rakyat majoriti, dan tentera India masuk melaksanakan referendum yang berakhir dengan wilayah ini bergabung dengan India.

Perkara yang sama juga berlaku di Hyderabad, tentera India telah masuk pada 13 September 1948 dan bergabung dengan India.

Walaubagaimanapun, isu Kashmir agak berbeza dengan dua wilayah tersebut. Pemerintahnya ialah Hari Singh, seorang bukan Islam yang dilindungi oleh penjajah sepanjang pemerintahannya telah membuat keputusan untuk bergabung dengan India tanpa mempedulikan suara majoriti rakyat beragama Islam yang ingin bergabung dengan Pakistan dan menyalahi kaedah pembahagian yang ditetapkan oleh British sendiri.

Peperangan Pertama

Peristiwa-peristiwa selepas itu berlaku dengan pantas. Tercetusnya peperangan pertama di antara rakyat Kashmir dan tentera India pada tahun 1947, yang menyebabkan dua pertiga wilayah Kashmir dijajah oleh India. Kemudian PBB campurtangan dalam pertelingkahan ini, maka Majlis Keamanan PB telah mengeluarkan arahan pada 18 Ogos 1948 agar dilaksanakan gencatan senjata dan melakukan referendum untuk mencari penyelesaian di wilayah tersebut. Namun arahan hanya sekadar di atas kertas tanpa apa-apa tindakan.

Peperangan Kedua

Pada tahun 1965, berlaku ketegangan semula antara dua pihak. Pakistan membantu kumpulan gerila Kashmir. Tetapi beberapa peristiwa berlaku di luar kawalan apabila berlaku tembak-menembak di antara tentera bersenjata Pakistan dan India pada bulan September 1965 di sepanjang sempadan dua negara tersebut. Tiada pihak yang menang dalam peristiwa ini. Akhirnya hasil usaha antarabangsa, kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata.

Pada tahun berikutnya, Soviet Union berusaha untuk campurtangan dalam pertelingkahan ini dan mengatur Persidangan Damai pada bulan Januari 1966 di Tashkent, tetapi berakhir dengan kegagalan.

Peperangan Ketiga

Peperangan kembali tercetus antara dua negara jiran ini sekitar awal tahun 1970-an selepas Pakistan mendakwa India membantu Pakistan Timur (Bangladesh) dalam cubaan untuk memisahkannya.

Maka berlakulah peperangan pada tahun 1971 berdasarkan pertimbangan ketenteraan untuk kepentingan India. Berakhir dengan kemenangan India yang membawa kepada pemisahan Pakistan Timur dari Pakistan dan membentuk negara Republik Bangladesh.

Kebangkitan Kashmir

Isu ini berterusan antara tegang dan reda sehinggalah bulan April 1987 apabila tercetusnya kebangkitan bersenjata di Kashmir selepas berlaku “penipuan” oleh India dalam pilihan raya tahun 1987. Dengan pantas kebangkitan ini membawa kepada usaha persenjataan.

Pada tahun 1990 menyaksikan permulaan pemberontakan menentang kerajaan India oleh mujahidin Kashmir. Mereka telah melakukan pelbagai bentuk operasi penentangan terhadap tentera India yang bertindak balas secara melampau terhadap orang awam.

Kami telah melihat pengakhiran setiap isu yang melibatkan umat Islam di seluruh dunia daripada isu kecil sehingga isu besar seolah-olah kebebasan dan kemerdekaan berdasarkan ketetapan yang dimainkan oleh bangsa-bangsa yang tidak mahu melihat keadilan, hak dan demokrasi berlaku terhadap umat Islam dan hanya untuk orang bukan Islam sahaja.

Agar kita tidak melupai kewajipan isu Kashmir ke atas umat Islam bahawa Kashmir adalah wilayah Islam dan majoriti rakyatnya adalah muslim. Walaupun di sana terdapat operasi pembunuhan, penghijrahan dan pengusiran, sesungguhnya orang Islam di Kashmir adalah saudara kita seakidah.

Firman Allah:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ﴾ [الحجرات: 10]

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah Al-Hujurat: 10)

Firman Allah:

﴿وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ﴾ [التوبة: 71]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain…”. (Surah At-Taubah: 71)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه (رواه الشيخان وأبو داود)

“Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Dia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya”. (Riwayat As-Syaikhan dan Abu Daud)

Sabda Baginda S.A.W.:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى. (رواه مسلم)

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, berlemah lembut dan berbelas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh jasad akan merasainya dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا. (متفق عليه)

“Orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti satu bangunan yang memperkuatkan antara satu sama lain”. (Muttafaq ‘Alaih)

Sabda Nabi S.A.W.:

وكونوا عباد الله إخوانا (رواه مسلم)

“Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat Muslim)

Adapun dalam dunia Islam, Kashmir adalah sebahagian daripadanya yang tidak boleh dipisahkan. Dari sudut sejarah Islam, Kashmir adalah sebahagian daripada wilayah Islam apabila majoriti rakyatnya memilih Islam sebagai agama. Mereka mempunyai hak persaudaraan ke atas kaum muslimin kerana orang-orang mukmin seumpama satu jasad.

Sesungguhnya ikatan iman lebih kukuh daripada ikatan keturunan dan kenegaraan. Walaupun pada zaman ini adanya kejahilan bagi orang yang tidak beroleh keuntungan daripada Islam, maka setiap kamu hendaklah menjadi penolong dan penyelamat bagi mereka.

Adapun isu ini adalah antara sisa-sisa penjajahan yang mesti diselesaikan dari peta dunia. Tetapi kita juga perlu menghadapi dunia Islam yang bersaing di antara negara-negara dan kerajaan-kerajaannya.

Akhirnya isu-isu umat Islam terpaksa diserah di bawah belas ihsan musuhnya yang sentiasa berusaha memerangi kita dalam setiap kesempatan yang ada dan menghukum kita mengikut perancangan mereka untuk menghalang penyelesaian isu umat Islam.

Perkara ini dilakukan supaya isu tersebut memberi peluang kepada kelangsungan politik penjajahan mereka. Ini memberi petunjuk bahawa perjuangan kita untuk mendapat kebebasan yang sempurna belum berakhir.

Kita juga perlu menilai semula pendirian-pendirian kita yang lalu yang lemah dan merugikan, kerana kita tidak berpegang dengan kekuatan umat Islam yang masih kekal keIslamannya di mana penjajah pun gagal melenyapkannya. Negara-negara umat Islam terletak dalam peta dunia yang sangat penting, mempunyai modal insan yang banyak dan hasil buminya yang kaya dengan sumber-sumber ekonomi, yang menjadi habuan ketamakan penjajah.

Maka di sinilah peranan semua organisasi dan para pemimpinnya untuk mendesak kerajaan agar mengambil pendirian bersatu dan menyedarkan umat Islam kepada kebebasan akal pemikiran daripada ikatan penjajahan moden yang mengepung kita dengan ketetapan dan perjanjian yang menipu.

Akhbar Independent: India Berusaha Melucutkan Kerakyatan Jutaan Kaum Muslimin

Telah tersebar berita yang disiarkan oleh Akhbar Independent bahawasanya kerajaan India dalam usaha untuk melucutkan kerakyatan tidak kurang daripada 4 juta orang, kebanyakannya muslim dengan anggapan bahawa mereka adalah imigran asing. Dalam masa yang sama, parti pemerintah berusaha membawa agenda perkauman Hindu yang melampau untuk menghapuskan kepelbagaian agama dalam negara.

Laporan dalam surat khabar British itu menyatakan bahawa kerajaan India telah melancarkan kempen mencari imigran haram di negeri miskin yang bergunung-ganang iaitu Assam yang terletak berdekatan dengan sempadan Bangladesh dan Myanmar. Penduduknya berjumlah 33 juta orang.

Laporan itu menambah bahawa kebanyakan penduduk yang didakwa oleh kerajaan India sebagai imigran asing tersebut dilahirkan di India. Mereka mendapat sepenuhnya hak sebagai warganegara, seperti hak mengundi dalam pilihan raya.

Kerajaan India telah menangkap beratus orang sejak dilancarkan kempen tersebut yang telah bermula sejak beberapa tahun yang lalu dan berakhir pada penghujung bulan ini kerana keadaan mereka menyerupai imigran asing, termasuklah tentera-tentera veteran ditangkap. Berdasarkan laporan akhbar tersebut juga menyatakan bahawa kerajaan India bercadang membina sebuah penjara besar yang baru untuk mereka.

Laporan Independent menjelaskan lagi bahawa Perdana Menteri, Narendra Modi tetap akan meneruskan tindakan politiknya walaupun diberi amaran oleh pejuang hak asasi, para peguam, NGO-NGO dan parti-parti pembangkang.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kebimbangan di kalangan masyarakat Muslim kerana kesan daripada kempen tersebut yang mengandungi strategi jangka panjang Modi untuk menukarkan India kepada negara Nasionalis Hindu. Akhirnya kita mendapati penarikan balik kuasa autonomi kepada Kashmir.

Sokongan Keputusan India

Namun amat mendukacitakan apabila sebahagian negara Arab menyokong keputusan India untuk menarik balik kuasa autonomi dari wilayah Kashmir dengan anggapan bahawa ia adalah satu langkah ke arah kestabilan dan keamanan serta membaiki situasi rakyat. Walau bagaimanapun, Pakistan telah mengambil langkah mengusir Duta India.

Marilah sama-sama kita menyeru negara-negara Islam supaya mengambil pendirian berasaskan petunjuk Islam supaya tidak terjerumus ke dalam musibah yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah S.A.W:

يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها فقال قائل ومن قلة نحن يومئذ قال بل أنتم يومئذ كثير ولكنكم غثاء كغثاء السيل ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن الله في قلوبكم الوهن فقال قائل يا رسول الله وما الوهن قال حب الدنيا وكراهية الموت. (أخرجه أبو داود في سننه)

“Telah hampir sampai masa bangsa-bangsa akan mengerumuni kamu sepertimana binatang mengerumuni bekas makanannya. Maka bertanya seseorang kepada baginda: Adakah kita sedikit ketika itu? Maka jawab Baginda S.A.W.: Bahkan kamu pada ketika itu ramai. Tetapi kamu seumpama buih di lautan. Allah S.W.T. akan mencabut daripada dada musuh perasaan gerun terhadap kamu. Lalu dicampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Lalu seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apakah penyakit wahan? Jawab Baginda S.A.W.: Kasih kepada dunia dan benci kematian”. (Riwayat Abu Daud)

Kita berlindung dengan Allah S.W.T. daripada musibah ini. Maka jawablah wahai pendakwah Allah:

﴿وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا٧٥ الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا٧٦﴾ [النساء: 75-76]

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh (75) Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (76) (Surah An-Nisa’: 75-76)

Walaupun sebab turunnya ayat ini berlaku sejak berkurun lamanya, tetapi pengajaran ayat diambil dari lafaz yang umum bukan daripada sebab yang khusus, iaitu ayat ini menerangkan tentang hukum berpeluk tubuh tanpa melakukan kewajipan untuk membantu orang lemah sama ada lelaki atau wanita serta kanak-kanak kerana kemuliaan iman dan hak kebebasan mereka. Sedangkan mereka dalam keadaan menderita dengan ujian dan fitnah semata-mata kerana mereka orang Islam.

Duduk berpeluk tubuh adalah satu kemungkaran paling besar dan menjatuhkan pelakunya kepada martabat kejelikan dan kehinaan. Walaupun kemuliaan Islam tidak terjejas oleh perbuatan orang yang enggan membantunya, tetapi musibah akan menimpa ke atas orang yang enggan membantu Islam.

Firman Allah S.W.T.:

﴿إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٣٩﴾ [التوبة: 39]

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taubah: 39)

Dan firman Allah S.W.T.:

﴿ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾ [محمد: 38]

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berinfaq) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Hakikatnya Allah tidak terhina walaupun kamu keberatan untuk membantu agama-Nya kerana Dia Maha Kaya ke atas setiap sesuatu. Sesungguhnya Allah S.W.T. menjanjikan kepada agama ini pemeliharaan dan bantuan. Adapun janji Allah adalah pasti tidak mustahil.

Firman Allah S.W.T.:

﴿ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٢٨٤﴾ [البقرة: 284]

“Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (284)”. (Surah Al-Baqarah: 284)

Maka Allah berkuasa menghancurkan kamu dan menggantikan kaum lain untuk membantu agama-Nya.

Telah berlaku sunnah Allah S.W.T. iaitu tidak akan kekal bagi umat-umat yang tidak mempertahankan dirinya, memelihara hakikat dan kedaulatannya. Kamu tidak mampu memudaratkan Allah S.W.T. dengan apapun kemudaratan dengan keengkaran kamu mentaati-Nya dan membantu agama-Nya, kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada kamu. Tiada siapapun mampu memberi manfaat mahupun mudarat kepada-Nya. Bahkan Allah yang Maha Perkasa melebihi hamba-Nya dan setiap sesuatu di langit dan bumi tunduk dengan perintah-Nya.

Sesungguhnya isu Kashmir adalah sama dengan isu-isu lain seperti isu Palestin. Bahkan isu ini adalah lebih teruk kerana terdapat banyak pihak yang mengelilinginya dan tiada kerajaan yang ingin membantunya.

Bidang untuk berjihad sangat luas. Sesungguhnya dalam setiap bidang, orang Islam mampu melaksanakan jihad. Maka pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan anggota majlis kerjasama, organisasi antarabangsa dan gerakan diplomasi. Begitu juga para ulama’, pemikir, pihak media dan pegawai-pegawai.

Kita berkumpul di sini tidak lain tidak bukan adalah untuk menyampaikan dan memberi buah fikiran untuk menyedarkan umat, mengumpulkan pandangan dan menghidupkan budaya jihad dengan berusaha memahami situasi semasa demi mempertahankan Islam dan penganutnya, serta untuk menghadapi gerakan musuh dengan nama yang negatif walaupun orang Islam sendiri dizalimi di setiap tempat sama ada dalam media, politik dan budaya.

Kita amat yakin sesungguhnya cabaran yang sedang kita hadapi hari ini adalah permulaan kepada masa depan kita yang dijanjikan dan citi-cita yang diinginkan iaitu kemenangan yang jelas dan kemenangan yang baharu.

Semoga kamu sentiasa dalam kebaikan, keberkatan dan taufik. Akhir doa kami: Sesungguhnya segala pujian hanya untuk Allah Tuhan Sekalian Alam.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 5/9/2019

(Ini adalah terjemahan ucapan Presiden PAS di Persidangan Meja Bulat Isu Kashmir di Putrajaya pada 26 Ogos 2019.)