HPU914: PAS Selangor kerah 11,000 ahli

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor komited untuk menjayakan program bersejarah Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang dijadual diadakan secara aman selama dua hari berturut-turut pada 13 dan 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Advertisement

“Program bersejarah ini dengan kemuncaknya Pemasyhuran Piagam kerjasama PAS-Umno diyakini akan menyemarakkan lagi sokongan rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam terhadap perjuangan kedua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara itu,” ujar Setiausaha PAS negeri, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi memastikan kejayaan program itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi telah mengeluarkan arahan agar PAS Negeri Selangor diwakili oleh sekurang-kurangnya 11,000 penyokong dan ahli yang akan berhimpun bersama lautan penyokong dan ahli PAS dan Umno seluruh negara selama dua hari berkenaan di PWTC.

“Semoga kehadiran yang besar ini akan memberi isyarat dan harapan kepada semua pihak bahawa Piagam Penyatuan Ummah ini mendapat restu dan sokongan seluruh rakyat dan bakal melakarkan lanskap baru politik negara,” katany lagi. – HARAKAHDAILY 5/9/2019