MEDAN dan belantara yang diterokai oleh Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak (Tan Sri Dato’ Seri DiRaja) di Filipina di bidang ilmu dan dakwah, serta anak-anak miskin yang dipelihara, termasuk peng-Islaman Milagros Campomayor (Mila) adalah perjalanan yang mencetus inspirasi. Inilah seni memimpin, hidup berdakwah, mendidik dan berihsan.
Milagros tidak hanya kembali kepada fitrah menjadi Muslim, tetapi membina keluarga yang taat kepada agama Islam, kemudiannya bersama suaminya Abubakrin Lukman yang pernah bekerja di RISEAP menggunakan nama Arifin Salih.
Sekembali Mila ke Zamboanga, dakwahnya meng-Islamkan hampir seluruh keluarganya pula. Dia insan terpilih oleh Allah S.W.T untuk tinggal menumpang sebagai anak angkat kepada seorang insan yang hebat, bersyahadah dengan kemahuannya, kemudian menjadi pendakwah yang hebat pula di bumi bergolak yang bernafas Katholik.
Ustaz Azizan Razak (UAR) tidak hanya mengasaskan pengajian Shariah Law di Mindanao State Universiti, membina bangunan pertama Kuliah Undang-undang, tetapi turut memberi bekas kepada kehidupan orang di sekelilingnya. Beliau memberi kuliah mingguan setiap Ahad di kediaman keluarganya, dan menyediakan makanan ala kenduri kepada semua murid yang hadir mendengar kuliahnya. UAR memang pakar memasak. Gulai mesti masam!
Daripada usaha keras selama 2 tahun setengah itu, saya rasa ratusan penduduk tempatan (kalaupun bukan ribuan) menjadi Muslim, ramai Muslim mengenali Islam lebih dalam, dan ramai Mujahidin memahami matlamat jihad bil quwwah, berdamai dan membina negara. Kalaupun bukan dalam waktu dia ada di sana, tapi ia berterusan sampai sekarang dan akan datang. Semaiannya berbuah merentasi masa 30 tahun.
Beliau pernah bercerita, beberapa kali juga Mujahidin MILF akan datang menjemputnya pada waktu malam, kadang-kadang berperahu melewati tasik dan sungai dalam gelap, kadang-kadang mendaki bukit ke kem-kem Mujahidin menyampaikan kuliah dan berusrah. Dia kenal hampir semua ketua-ketua Mujahidin pada waktu itu.
Pada satu hari, ketika almarhum sudah menjadi Menteri Besar Kedah, datang kepadanya Mohamad Sabu dan beberapa sahabatnya buat pertama kali datang ke pejabat MB bersama seorang ‘wakil Mujahidin’ MILF.
“Hang mai jugak pejabat aku Mad nooo… Ingat tak mau mai dah!” suara UAR.
“Ni Ustaz… saya bawa seorang wakil pejuang MILF mai cari sumbangan untuk perjuangan Islam di Selatan Filipina,” kata Mat Sabu.
UAR berbual dengan ‘wakil Mujahidin’ itu seperti biasa, bertanya mengenai ketua-ketua pejuang yang juga kenalannya di kem-kem MILF, lokasi dan nama-nama tempat. Ustaz ingat semuanya. Jawapan orang itu pula kurang lancar dan teragak-agak. Kekadang tergagap.
Selepas berbual dengan rombongan Mohamad Sabu dan sahabatnya mengenai beberapa perkara, rombongan itu pun pulang.
“Sanusi! Hang jangan bagi apa-apa derma kat orang Filipin tu… Dia bohong! Bagitau kawan-kawan kita sama. Banyak orang mai kutip derma juai nama perjuangan Islam Selatan Filipina, ramai dah aku jumpa tapi ramai daripada depa tu berbohong. Depa bukan MILF, MNLF pun bukan BEAF pun bukan.
“Depa sana panggil aku Profesor Azizan. Semua pimpinan MILF, MNLF maupun BEAF kenai Profesor Azizan. Orang tadi tu tak tau pun aku sapa, kawan-kawan aku yang jadi ketua di sana pun dia tak kenai,” bentak UAR.
Dalam tempoh yang singkat, UAR dapat melangsaikan terlalu banyak kerja-kerja besar. Disiplinnya ialah kerja bersungguh-sungguh, fokus, pantas, jangan lambat, jangan tangguh, teliti dalam semua perkara, jimat cermat, dan jangan buat silap. Jangan bagi ruang kepada kesilapan, jangan cincai.
Medan yang diterokai sedang berkembang dalam pelbagai lapangan… Kerjanya banyak, berbekas dan berkesan. Ia dikenang dan dihargai.
Nota: Milagros (Jamilah) sedang kesempitan untuk meneruskan ‘chemotherapy’ merawat kanser yang dihidapinya.
Suaminya Lukman tidak menerima gaji sejak Januari akibat transisi politik kepada Bangsamoro Autonomous Region Muslim Mindanao (BARMM) selepas peperangan yang panjang.
Anaknya Fizniyara berhenti kerja untuk menjaga dan merawatnya di rumah. Kos rawatan chemo sahaja di hospital tanpa subsidi kerajaan dijangka mencecah RM15,000. Dia memohon kenalan lamanya dan sahabat-sahabat ayahnya di sini untuk menghulurkan bantuan.
Kepada yang ingin membantu, boleh hubungi saya di 012 5969220 (Telefon atau WhatsApp). Kepada yang telah bermurah hati, saya rakamkan jutaan Terima kasih. Jumlah terkumpul setakat 4 September 2019, jam 10 malam ialah RM5,860.
Daripada jumlah itu, saya telah kirimkan RM3,500 melalui Western Union siang tadi sebagai bantuan kecemasan.
Saya dan ‘Mak Faiqah’, bersama sahabat-sahabat PASRelief akan berziarah ke Zamboanga sedikit masa lagi. Doakan Mila sembuh… Al-Fatihah untuk Almarhum ‘Ayahnya’, seorang pemimpin ulung di negara kita, Ustaz Azizan Abdul Razak… – HARAKAHDAILY 5/9/2019