PAS-Umno Bangi bentuk sekretariat perpaduan

BANGI: Sekretariat Perpaduan Ummah Parlimen Bangi berhasil dibentuk daripada pertemuan PAS Kawasan Bangi dan Umno Bahagian Bangi di Pejabat PAS Bangi 2, di sini kelmarin.

Advertisement

Tiga Jawatankuasa juga telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kebajikan, Jawatankuasa Penerangan dan Jawatankuasa Pilihan Raya yang melibatkan penyertaan kedua-dua parti.

Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah berkata, pembentukan Sekretariat ini menunjukkan kesungguhan menjayakan misi perpaduan yang dianjurkan oleh pimpinan kedua-dua parti.

“Kami menawarkan penyelesaian kepada keresahan orang ramai yang cukup gelisah dengan senario politik hari ini. Iaitu politik fitnah,  hanyir dan tidak matang. Politik yang tidak sudah-sudah menyalahkan kerajaan dahulu bagi menutup kegagalan kerajaan sekarang.

“Kegagalan kerajaan sekarang seperti kemuncupan ekonomi,  kejatuhan nilai ringgit, krisis kaum dan agama, penghinaan institusi raja dan lain-lain,” ujar beliau.

Selain itu, pimpinan kedua-dua belah parti juga telah memutuskan untuk bergerak secara bersinergi dengan menjalankan aktiviti di peringkat Cawangan dan Kawasan secara bersama-sama.

Kedua belah pihak juga telah bersetuju untuk berkempen secara besar-besaran supaya setiap jentera dari PAS dan Umno hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah yang akan diadakan di PWTC, 14 September nanti. –HARAKAHDAILY 5/9/2019

IMG 20190905 WA0033