Kempen utama produk Muslim sengaja dikeliru

KUALA LUMPUR: Polemik kempen utamakan produk Muslim sengaja dikelirukan oleh setengah pihak termasuk kerajaan PH yang cuba untuk mengalih perhatian rakyat bagi menutup kepincangan pentadbiran mereka.

Advertisement

Menurut Yang Dipertua PAS Puchong, Ustaz Dr Muhamad Zuhaili Saiman, kempen yang dilancarkan mengutamakan produk Muslim terlebih dahulu berbanding produk lain.

“Kempen yang dilancarkan bukanlah boikot kerana boikot sama sekali tidak akan membeli. Malah tujuan boikot juga adalah melumpuhkan ekonomi pengeluar yang diboikot tersebut.

“Berbeza dengan kempen membeli produk Muslim dulu akan tidak menyekat namun memberi kefahaman keutamaan. Jika perkara yang dihajati ada pengeluaran produk muslim maka didahulukan dan menjadi keutamaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, sekiranya barang yang diingini tiada dari produk Muslim, maka tidaklah menghalang untuk mencari selainnya, ia hanya bertujuan untuk membantu kekuatan ekonomi terhadap barang atau pengeluar Muslim.

Jelasnya, tiada istilah kempen yang dilancarkan ini tidak meneladani Rasulullah SAW dalam urusan muamalat.

Sebaliknya, kempen ini bertujuan membantu saudara sesama Muslim yang merupakan tuntutan dan tanggungjawab khas, adapun urusan dengan bukan Islam hanya pada konteks keharusan bukan tanggungjawab khas.

“Rasulullah SAW menunjukkan teladan membina kuasa ekonomi umat Islam dengan mewujudkan pasar yang berlainan dari pasar yang sedia ada di Madinah namun dikuasai dan dimonopoli oleh Yahudi Bani Qainuqa’.

“Produk Muslim adalah lebih selamat dalam menepati syariat dari sudut halal lagi tayyiba (bersih). Malah ia tidak rasis kerana Muslim itu dari pelbagai kaum yang sesiapa sahaja beragama Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/9/2019