Ketua Muslimat seru rakyat Utara bantah PSR

BALIK PULAU: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh turun ke laut melihat sendiri lokasi projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang mahu dilaksanakan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang.

Advertisement

Beliau menyelusuri Pulau Kendi dan Pulau Rimau di mana tiga ‘pulau puaka’ itu bakal ditambak antara kedua pulau tersebut di sekitar Tanjung Asam dan Sungai Batu bersama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, di sini semalam.

Yakini beliau, tambakan tiga pulau itu nanti akan membawa kesan negatif kepada alam sekitar dan ekonomi nelayan termasuk masyarakat setempat khasnya dan rakyat Pulau Pinang seluruhnya.

Sehubungan demikian Ahli Dewan Negara itu menyatakan sokongan terhadap Himpunan Ummah: Selamatkan Pulau Pinang yang bakal dilangsungkan pada Ahad, 8 September lusa.

Beliau menyeru para penduduk di Utara Tanah Air untuk bersama-sama menyatakan bantahan terhadap projek tersebut dengan hadir ke himpunan di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dari jam 1 hingga 5 petang.

“Melalui Himpunan Ummah ini menunjukkan kesatuan kita dalam membela kesejahteraan rakyat dan kepentingan untuk alam sekitar yang terpelihara dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” ujar beliau turut disertai Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

Tinjauan kita itu dalam rangka lawatan kerja beliau di negeri-negeri Utara selama beberapa hari. – HARAKAHDAILY 6/9/2019

IMG 20190906 WA0023