Dua negara pewaris darah konfrontasi dan diplomasi

APA yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno bukanlah perkara asing dalam sejarah bola sepak antara Indonesia dan Malaysia. Malah bukan juga asing dalam sejarah hubungan antara dua negara berjiran ini. Walaupun dari rumpun sama, tetapi genetik dan akal budi keduanya agak berbeza.
 
Secara geografi, Malaysia merupakan negara strategik yang menghubungkan kuasa ekonomi Timur (China) dan kuasa ekonomi Barat (US dan Eropah) melalui Selat Melaka. Kepulauan Jawa pula kurang bagi perdagangan sejagat mahupun serantau.
 
Hal ini menyebabkan bangsa Tanah Melayu mewarisi sejarah diplomasi yang amat panjang antarabangsa. Kesultanan Melayu Melaka adalah rakan strategik Dinasti Ming. Rapatnya hubungan Melayu dengan China tergambar apabila Parameswara dijemput sebagai tetamu Empayar China hanya selepas tujuh tahun menjalinkan kerjasama ekonomi, berbanding Siam yang sudah 40 tahun tetapi belum pernah dijemput walau sekali. Laksamana Cheng Ho sangat rapat dengan pembesar-pembesar Melayu malah menjalinkan hubungan suhrah dengan umat Melayu.
 
Orang Jawa pula yang ditakdirkan berada pada geografi kurang strategik perlu untuk menguasai laluan-laluan perdagangan dunia supaya boleh maju. Kerana itulah mereka sentiasa bersikap penakluk. Mereka mengimpikan Tanah Melayu dan Sumatera yang lebih strategik dari sudut geopolitik dan geoekonominya. Justeru mereka sentiasa bersikap agresif dan bersemangat kepahlawanan bagi mencapai cita-cita tersebut.
 
Dua genetik berbeza ini terus diwarisi zaman ke zaman. Sewaktu era dekolonialisasi (pasca penjajahan), hubungan Malaysia dan Indonesia teruji dengan peristiwa Konfrontasi. Indonesia yang berideologi sosialis menganggap penubuhan Malaysia 1963 sebagai agenda neokolonialisasi kapitalis bawaan US. Mereka menggunakan pendekatan kekerasan dan ketenteraan untuk cuba menakluk Malaysia atas alasan negara ini adalah barua penjajah yang bakal mengancam nusantara.
 
Malaysia pula menghadapi dengan penuh semangat diplomasi. Menyedari kekuatan ketenteraan kita tidak setanding Indonesia, Malaysia mengorak langkah melobi negara-negara Asia dan Afrika bagi mendapatkan sokongan. Tun Razak ketika itu turut memanjat PBB dan Komanwel selain bertemu dengan Sukarno sendiri di Tokyo tahun 1963. Akhirnya Konfrontasi berjaya digagalkan.
 
Cabaran terbaru adalah pentas bolasepak. Satu dunia telah mengetahui bahawa Indonesia yang mula cari pasal. Sehingga FIFA, Cristiano Ronaldo dan masyarakat antarabangsa sendiri mengutuk kelakuan penyokong Indonesia yang tidak bertamadun. Tetapi penyokong Malaysia sehingga ke hari dilihat masih sabar dan tidak membalasnya. Kunjungan Indonesia ke Stadium Shah Alam atau Bukit Jalil disambut penuh hormat sebagai tetamu.
 
Sebelum PRU lalu, kepimpinan negara menyelesaikan konflik ini dengan penuh harmoni. Bukan tidak bertegas dengan undang-undang yang ada, tetapi didasari dengan semangat satu rumpun nusantara. Harapannya agar kepimpinan sekarang masih kekal berdarah diplomasi untuk terus bertahan sebagai negara kecil yang dihormati dan disegani dunia. Jadikan bolasepak sebagai medium softpower Malaysia, bukan sekadar persaingan ranking semata-mata.
 
Politik dunia semakin tidak stabil. Barat dan Timur terus cabar mencabar kekuatan ketenteraan masing-masing. Keupayaan senjata pemusnah semakin ditingkatkan. Tentera upahan dan ekstremis sudah meredah setiap benua hingga ke Oceania. Dua kuasa nuklear paling dekat mula berseteru kembali lewat isu Kashmir. Jika kita tidak menjaga nusantara ini sebaiknya, mungkin nusantara ini juga akan berubah menjadi medan perang kuasa dunia.
 
Kita dari rumpun sama. Lebih penting kita berkongsi agama yang sama. Agama kita adalah Islam, agama salam (sejahtera). Tidak halal walau setitikpun darah saudara seagama gugur ke bumi angkara sesama sendiri. Jangan biarkan kejahatan memperkuda fitrah insani dan jiwa mulia yang dikurnia, seterusnya menjadi alat kuasa asing menguji kekuatan masing-masing.
 
Orang Arab telah rosak dengan kesilapan sektarian mereka. Jangan kita import pula kebodohan mereka yang bercanggah dengan prinsip agama. Kalau tidak mahu Arab Spring bertukar kepada Sunda Spring.
 
Renunglah jalur merah putih pada Jalur Gemilang dan Sang Saka Merah Putih. Kita berkongsi identiti sama, terinspirasi dari panji Getih Getah Samudera. Lihatlah juga Bulan Bintang yang menjadi kebanggaan bendera kita. Ia adalah simbol kedaulatan agama umat Tanah Melayu, Jawa, Sumatera dan semuanya; Islam.
 
Salam perdamaian,
Rakyat Malaysia
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 7/9/2019
indonesia malaysia fans
Advertisement