DAP jadikan rakyat seolah ‘tikus dalam sangkar’

BAYAN BARU: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan Kerajaan Pulau Pinang telah melayan rakyat seperti tikus di dalam sangkar besi dalam isu Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Advertisement

Katanya, pameran awam mengenai projek tersebut walaupun membuka peluang kepada rakyat untuk mengemukakan bantahan, tetapi disukarkan dengan laporan tebal beribu-ribu muka surat selain penuh bahasa teknikal.

Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam pidatonya pada Himpunan Ummah Selamatkan Pulau Pinang di Padang Awam Kampung Permatang Damar Laut, di sini sebentar tadi.

Oleh itu menurutnya, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak ubah seperti menipu rakyat kerana kemampuan untuk memberi maklum balas kepada pameran berkenaan hanya selayaknya dilakukan penelitian oleh pakar dan profesional.

Demikian itu gesanya, berdasarkan semua suara bantahan telah dikemukakan oleh banyak pihak, maka rancangan mega pembangunan tersebut yang hanya akan menguntungkan pihak tertentu sahaja, mestilah dibatalkan serta-merta.

Sementara itu, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato’ Musa Syeikh Fadzir mengutarakan isu bahawa di bawah pemerintahan DAP, negeri ini tidak lagi dibangunkan untuk kepentingan rakyat.

Beliau menyenaraikan beberapa pelaksanaan oleh Kerajaan Pulau Pinang yang menafikan keperluan rakyat antaranya tiada lagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini. – HARAKAHDAILY 8/9/2019