Muslimat Temerloh anjur bengkel kendali majlis

TEMERLOH: Lajnah Penerangan Media Baru Muslimat PAS Kawasan Temerloh telah menganjurkan Bengkel Pengendalian Majlis 1.0 bertempat di Balai Islam Sungai Gau, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman berkenaan teori dan amalan protokol serta kemahiran sosial dalam urusan pengendalian majlis formal dan santai dari awal hingga akhir.

Selain itu, menerusi program ini juga untuk membolehkan peserta mengetahui tugas dan tanggungjawab pengacara majlis yang akan mengawal keseluruhan suasana dan aturcara program.

Bengkel ini melibatkan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Temerloh, Gen3 serta Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan-cawangan Kawasan Temerloh.

Menurut Ketua Penerangan Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Suhaila Sahbudin, program sebegini adalah untuk melahirkan Muslimat yang berani dan berkeyakinan untuk tampil di khalayak ramai seteruskan dapat mengendalikan sesebuah majlis dengan jayanya.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan dan beliau mengharapkan Muslimat dapat manfaatkan bengkel sebegini supaya Muslimat PAS dipandang hebat oleh masyarakat dan membawa imej parti.

Bengkel ini disampaikan oleh jurulatih kelab pidato Ustaz Asri Ismail dengan memberi beberapa teknik dan tips mengendalikan majlis dan melakukan simulasi kepada peserta diakhir waktu. – HARAKAHDAILY 8/9/2019