Saranan LATAS PAS bagi tangani fenomena jerebu

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Wilayah Persekutuan (LATAS WP) menyokong penuh Plan Tindakan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam usaha membersihkan Negara daripada pencemaran jerebu 
 
LATAS WP menyarankan agar kempen hapus jerebu ini dibuat secara berterusan dan menyeluruh, iklan di TV, papan-papan tanda amaran. 
 
Juga ditambah dengan pelaksanaan tindakan undang-undang yang serius dan berterusan mengikut akta sudah digezetkan kepada pihak melakukan kesalahan pembakaran terbuka.
 
LATAS WP menyarankan agar kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisma dan medium bagi mengukur dan menilai kesedaran rakyat terhadap pentingnya tidak melakukan pembakaran terbuka dan bahaya jerebu kepada kesihatan. 
 
LATAS WP memandang selagi kesedaran terhadap ‘punca dan implikasi’ tidak difahami dan diamalkan oleh masyarakat awam, maka selagi itulah tanggungjawab pihak berwajib terus menerus mendidik bagi menerbitkan kesedaran kepada seluruh masyarakat. 
 
LATAS WP menyarankan supaya statistik perlanggaran dan tindakan juga perlu disiarkan dalam media prima sama ada melalui media cetakan atau sebaran maya sebagai ‘pengajaran dan peringatan’ bagi memastikan tidak berlaku lagi aktiviti pembakaran terbuka. 
 
LATAS WP meminta pihak kerajaan memperjelaskan sejauh manakah keberkesanan dan perlaksanaan “ASEAN Transboundry Haze Coordinating Centre” yang sudah ditubuhkan sejak 2006.
 
LATAS WP mengingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi nasihat Doktor dan standard prosedur yang telah dikeluarkan oleh jabatan kesihatan bagi melindungi diri daripada kesan negatif daripada fenomena jerebu yang melanda negara kita sekarang. 
 
LATAS WP menyarankan supaya kita sama sama bermunajat ke hadrat Allah dengan mencadangkan supaya pihak JAKIM mengarahkan Solat Hajat dilaksanakan di seluruh negara, memohon kepada Allah agar fenomena jerebu ini akan berakhir dan memohon supaya rakyat Malaysia terhindar daripada kesan negatif akibat jerebu ini.
 
Juga supaya semua hati sanubari manusiawi sedar akan peranan masing masing bagi memelihara kelestarian alam sekitar yang Allah anugerahkan kepada kita untuk dipelihara mengikut perintah-Nya. 
 
HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 9/9/2019
Advertisement